UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Isnin, 21 Mei 2012

Luar bandar sasaran baru pusat urut di Selangor?


Gambar : Kewujudan begitu banyak pusat urut di Kuala Selangor menimbulkan kebimbangan di kalangan penduduk tempatan.

Kebanjiran pusat atau rumah urut di bandar-bandar besar di Selangor bukan baru malah telah banyak diperkatakan sebelum ini. Walaupun pelbagai saranan supaya kewujudan pusat-pusat urut berkenaan dikawal dan dihadkan, ia terus berleluasa tanpa kesudahan.

Kewujudan pusat tersebut secara berlebihan mewujudkan saingan sengit sehingga memaksa pengusaha mencari `nilai tambah’ bagi memastikan pusat urut mereka sentiasa menjadi pilihan pelanggan.

Selain itu, saingan keterlaluan itu juga mendorong mereka mencari pasaran baru termasuk di luar bandar. Ianya bermula dari Kuala Selangor sehingga ke Sabak Bernam! Jika sebelum ini, Kuala Selangor terkenal kerana kelip-kelipnya, kini ia mempunyai tarikan baru apabila menjadi tumpuan pusat-pusat urut.

Tinjauan baru-baru ini mendapati bukan satu tetapi enam pusat urut beroperasi dalam satu kawasan perdagangan yang baru dibuka di pekan itu. Jumlah itu bertambah kepada lapan jika dua lagi pusat urut yang beroperasi di pekan kecil Sungai Buloh, kira-kira 10 kilometer dari sini, diambil kira.

Sementara itu : Penduduk pertikai tindakan PBT

Tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang begitu mudah meluluskan operasi pusat urut di daerah ini menimbulkan banyak persoalan kepada penduduk setempat.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk Islam Bestari Jaya, Suhaidi Salleh berkata, tidak ada keperluan bagi sebuah daerah kecil di luar bandar yang 65 peratus penduduknya beragama Islam mempunyai begitu banyak pusat atau rumah urut.

''Untuk apa? Di sini perkhidmatan tukang urut tradisional di kampung-kampung pun masih banyak.

''Paling mendukacitakan ia mendedahkan anak-anak muda kita kepada persekitaran untuk terjebak ke lembah maksiat,'' katanya.

Beliau menambah, apa yang menghairankan, banyak permohonan pihaknya untuk menganjurkan program sihat disekat atau ditolak.

Sebaliknya, ujar beliau, operasi pusat urut seolah-olah kelihatan sangat untuk diluluskan.

''Kami gantung kain rentang untuk memaklumkan aktiviti agama diturunkan, kain rentang bagi tahu operasi rumah urut tidak diturunkan pula,'' katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Fairuz Kukoh berkata, sejak kewujudan pusat urut, remaja sudah pandai bercakap mengenai seks dan pelacuran, selain judi..!

''Perkara ini amat menakutkan dan bukan sahaja remaja bahkan golongan yang telah berkahwin juga mengalami keruntuhan rumah tangga akibat perkara ini,'' katanya.

Azman Shah Abdul Hamid berkata, pihak berkuasa perlu memperbanyak dan mengutamakan pembinaan tempat rekreasi untuk golongan remaja berbanding rumah urut.

Beliau yang juga Pengerusi Kelab Bermotor Speedway Kuala Selangor menambah, langkah itu dapat mengelak remaja terjebak dalam maksiat dan gejala sosial.

''Sekarang remaja di sini tidak ada tempat beriadah. Gelanggang futsal ada tetapi tidak diselenggara. Trek lumba juga tiada,'' katanya....!!!-UMO

Juragan Malawati..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan