UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR
Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.
Sabtu, 1 Jun 2013
Parti tunggal - Siapa yang untung, siapa yang melopong?
Ura-ura mahukan satu parti politik sahaja, perlu dibuat kajian yang amat teliti, mendalam dan serius. Cadangan ini telah kita ketahui telah lama disarankan oleh parti Gerakan setelah mereka kalah dalam PRU-12.
Kita sebagai orang Melayu dan parti UMNO khasnya haruslah memikirkan dari segi untung ruginya jika satu parti sahaja diwujudkan iaitu Barisan Nasional (BN).
Sudah tentu tiada lagi UMNO, MCA, MIC, Gerakan, PBB dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak! Parti-parti ini umumnya berjuang dan berpaksikan kepada satu kaum atau bangsa dan aspirasi perjuangan bangsa sejak sebelum dan selepas Malaysia mencapai kemerdekaan.
Berdasarkan masyarakat majmuk di Malaysia, adakah cadangan ini baik atau menguntungkan orang Melayu dan Islam? Jika kita mahu mengambil contoh negara lain atau negara jiran terdekat seperti Thailand dan Filipina, mereka terdiri daripada kaum sama atau setidak-tidaknya mereka berfahaman dan menganut agama sama.
Di negara kita amat berbeza sekali kerana majoriti penduduk yang berbangsa Melayu dan beragama Islam, manakala kaum minoriti orang Cina dan India pula yang berfahaman dan menganut agama yang berbeza.
Keputusan PRU-13 yang lepas kita telah menyaksikan berlaku tsunami orang Cina mengundi pembangkang terutama DAP. Parti komponen BN terutamanya MCA dan Gerakan telah kalah teruk. Jika tanpa sokongan orang Melayu yang menjadi majoriti senyap, maka parti UMNO pun sudah lama 'bungkus'.
BN pun pasti rebah dan tumbang menyembah bumi jika tanpa bantuan orang Melayu, bumiputra Sabah/Sarawak dan segelintir orang India. Jadi kita rasa jika sistem satu parti atau parti tunggal dipersetujui, maka yang untung bukanlah orang Melayu tetapi orang bukan Melayu atau orang Cina dan India!
Sejak PRU pertama selepas Merdeka, UMNOlah yang mempunyai calon ADUN dan Parlimen yang ramai kerana mewakili majoriti penduduk Malaysia. Wakil UMNO yang menjadi majoriti dalam Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Wakil UMNO yang menjadi Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan majoriti menteri-menteri kerajaan BN.
UMNO mendominasi dan menjadi tulang belakang parti Perikatan atau Barisan Nasional sekarang! Jika hanya ada parti tunggal adakah perkara ini akan diteruskan? Platfom manakah mereka mahu berkumpul dan bincang hal agenda Melayu seperti persidangan tahunan UMNO?
Adakah kita sudah menganggap agenda bumiputra sudah selesai? Cukup setakat ini sahaja kita tolong orang Melayu? Tahap ekonomi Melayu sudahkah mencapai 30 peratus? Sudah tertubuhkah universiti berteknologi tinggi untuk anak-anak Melayu atau universiti UMNO?
Kita jangan lupa MCA dan MIC telah lama ada universiti dan institusi pengajian tinggi mereka sendiri! Agenda mereka mungkin sudah selesai, kerana hampir keseluruhan perniagaan di negara ini telah dikuasai mereka! Apakah kita sudah mahu mentalkinkan UMNO sebagaimana yang ditunggu-tunggu oleh DAP?
Tanpa UMNO, adakah orang Melayu perlu pergi mengadu kepada Perkasa atau NGO-NGO Melayu lain? Atau orang Melayu akan kecewa dan beralih angin ke parti lain seperti Pas pula atau menubuhkan sebuah parti Melayu baru?
Persoalan-persoalan inilah yang perlu dijawab oleh pemimpin politik kita sebelum keputusan muktamad diambil. Beberapa tabung uji perlu dikaji dan diselidik dalam makmal yang akan ditubuhkan.
Patut diingat dengan adanya satu parti, maka pihak yang kalah dan minoriti akan sentiasa terselamat dan menjadi penumpang kepada parti lain lebih dominan iaitu UMNO! Sekiranya wakil kaum ini tidak menang, tiada siapa pun boleh mempertikaikan kerana yang kalah adalah calon parti sama?
Jadi, apabila susunan Kabinet jemaah menteri dibuat, maka orang Cina dan India akan juga dilantik mengikut kouta yang dipersetujui walaupun mereka kalah teruk!
Bagaimanakah pula jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri? Jika telah dalam satu parti, maka orang Cina dan India juga berminat jawatan-jawatan tersebut. Apa alasan kita jika mengatakan mereka tidak layak?
Sedangkan mereka juga berada dalam parti sama? Apakah Perlembagaan Malaysia juga nanti perlu dipinda? Kita juga harus ingat adakah telah terjamin jika kita adakan parti tunggal, orang Cina akan mengundi BN nanti pada PRU-14?
Begitu juga orang Melayu, adakah mereka akan terus menyokong BN jika bukan lagi atas nama UMNO?
Juragan Malawati..
PAS wajar memperjuang Islam bersama UMNO?
Sudah tiba masa Kelantan berubah
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dalam Facebooknya menyatakan pihaknya berpegang teguh bahawa demokrasi adalah wadah terbaik untuk menukar kerajaan di negara ini. Beliau tidak setuju rusuhan jalanan seperti dilakukan beberapa pemimpin pembangkang sekarang.
Sikap beliau nyata lebih rasional berbanding pemimpin PAS sebelum ini yang menunjukkan ciri penentangan walaupun pernah berada dalam Barisan Nasional (BN). PAS disingkir daripada BN pada 1978 selepas penubuhan kerajaan campuran selama hampir lima tahun di Kelantan.
Pada masa itu, ramai pemimpin PAS diambil Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein menjadi menteri, timbalan menteri, setiausaha parlimen, setiausaha politik dan duta.
Malangnya kerana tidak sabar dan tamakkan kuasa, PAS berlagak besar bagai lebih kerak daripada periuk. PAS mengambil pendekatan ‘tikam belakang’ ketika berada di dalam BN menyebabkan pimpinan Pusat terpaksa bertindak tegas. Akibatnya PAS dipecat dan hilang semua jawatan yang mereka pegang.
Ajak ‘bertukar bulu’
Ketika dalam Kerajaan BN sejak 1973 ada pemimpin PAS meredah hutan dan rancangan FELDA untuk memperaga dan mempengaruhi ahli UMNO di tanah rancangan supaya menukar parti.
Ketika Tan Sri Mohd Asri Muda menjadi Menteri Persekutuan, beliau menggalakkan kader UMNO dalam pasukan polis dan tentera ‘bertukar bulu’, iaitu menjadi ahli PAS. Lama-kelamaan taktik mereka yang licik ini dihidu oleh UMNO tetapi pada waktu itu pengaruh PAS sudah merebak.
Razak tidak suka dengan cara itu kerana ia tidak menambahkan orang Melayu menjadi ahli parti politik. Mereka hanya menukar parti, sedangkan mereka adalah orang yang sama.
Sepatutnya pemimpin PAS mencontohi tindakan bekas Ketua Menteri Sabah, Tun Mustapha Datu Harun, yang mengislamkan beribu-ribu rakyat Sabah sehingga mengundang cemburu orang bukan Melayu di negeri itu.
‘Mengislamkan’ ahli parti lain
Satu lagi punca PAS dipecat ialah kerana mereka enggan menerima Datuk Mohamad Nasir sebagai Menteri Besar Kelantan yang dilantik oleh BN.
Bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat pula berbaik-baik dengan DAP supaya ahli Cina dan India parti itu mengenali Islam seolah-olah orang bukan Islam tidak mengenali agama suci itu pada hal mereka bermastautin di Tanah Melayu dan Malaysia sejak beratus-ratus tahun lamanya.
Nik Aziz seharusnya ingat ratusan tahun dulu pun sudah ramai bangsa asing memeluk Islam di negara kita. Ini tidak termasuk berpuluh-puluh juta rakyat China khususnya di sebelah barat negara itu.
Bagaimanapun pentadbiran PAS gagal memajukan Kelantan. Selama 23 tahun, Kelantan mundur dalam pelbagai sektor menyebabkan ramai yang terpaksa berhijrah ke negeri lain.
Keadaan sudah berubah
PAS lebih ghairah dengan retorik politik. Sebab itulah dasar pemerintahan parti itu tidak perlu mengusahakan jalan, jambatan, masjid dan surau serta membersihkan air kotor yang diminum dan digunakan untuk mandi oleh rakyatnya. Pada mereka semua ini boleh dilakukan oleh BN sedangkan mereka hanya goyang kaki.
Di Kelantan, banyak bangunan masjid dan infrastruktur disediakan oleh BN kerana tanggungjawab sebuah kerajaan kepada rakyat, manakala tanggungjawab PAS sebagai ‘pemerintah Islam’ diabaikan.
Keadaan sudah berubah. Nik Aziz bukan lagi mentadbir Kelantan. PAS perlu lihat realiti semasa kerana rakyat memerlukan sebuah kerajaan yang boleh bekerja dan melaksanakan dasar transformasi politik. Tidak salah PAS bersahabat dengan UMNO demi kebaikan ummah. Tidak guna PAS berseteru dengan UMNO secara berterusan sedangkan Kelantan terus mundur.
Dasar ekonomi dan pentadbiran yang lebih telus wajar dihayati di Kelantan. Inilah masanya PAS buktikan kerjasama ummah bersama UMNO demi kepentingan Melayu dan Islam sendiri.
Juragan Malawati..
Khamis, 30 Mei 2013
Masalah air semakin kronik?
Masalah kekurangan air terawat di ibu kota, Selangor dan Putrajaya dijangka semakin kritikal mulai 1 Julai tahun depan.
Ketua Pegawai Operasi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Datuk Ir. Lee Miang Koi berkata, keadaan tersebut bakal berlaku apabila rizab bekalan air merosot secara mendadak sehingga ke tahap negatif akibat daripada permintaan tinggi daripada pengguna.
"Untuk tempoh dari sekarang hingga Julai 2014, rizab bekalan air adalah sangat sedikit kerana kapasiti bekalan pada masa ini adalah 4,661 juta liter sehari (JLH) sahaja berbanding permintaan semasa sebanyak 4,638 JLH.
"Permintaan yang tinggi akibat cuaca panas sekarang menyebabkan rizab bekalan air menjadi sedikit iaitu sekitar 0.43 peratus atau 19.83 JLH, kita perlukan sekurang-kurangnya 10 peratus rizab air (daripada jumlah dibekalkan kepada pengguna).
"Rizab yang amat sedikit ini telah menyebabkan bekalan air menjadi tidak stabil dan akibatnya berlaku gangguan bekalan secara kerap dan tidak menentu," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mengenai status terkini bekalan air di tiga wilayah tersebut di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Miang Koi menjelaskan, daripada 34 loji sedia ada, empat daripadanya beroperasi melebihi kadar kapasiti reka bentuknya bagi menampung permintaan yang terlalu tinggi.
Menurutnya, ekoran daripada itu berlaku penurunan paras air yang kritikal di kolam-kolam utama Syabas.
"Kawasan-kawasan yang dikenal pasti kritikal dengan permintaan tinggi yang dinamakan 'water stress areas' ialah di Hulu Langat, Petaling, ibu negara, Klang, Shah Alam dan Gombak.
"Dalam hal ini, kerajaan negeri Selangor juga perlu bertindak kerana masalah ini akan memberikan impak yang buruk kepada penduduk," ujarnya.
Sehubungan itu, Miang Koi meminta orang ramai menggunakan air secara minimum bagi mengelakkan pembaziran.
"Penggunaan air kini adalah 214 liter sehari bagi seorang dan jumlah tersebut terlalu tinggi, bagi memastikan masalah air tidak berlaku orang ramai perlu mengurangkan penggunaan air sehingga 150 liter sehari.
"Setiap titik air yang dapat dijimatkan boleh memberi kesan terhadap jumlah air yang dapat disalurkan kepada pengguna terutama dalam situasi kini yang mana rizab bekalan semakin sedikit," katanya.
Dalam perkembangan sama, Ming Koi berkata, permintaan air pada tahun lalu meningkat sebanyak 4.9 peratus iaitu daripada 4,315 JLH kepada 4,528 JLH pada tahun ini.
Juragan Malawati..
Rabu, 29 Mei 2013
Pas perlu berhenti diperbodohkan Anwar?
Parti pembangkang khususnya Pas perlu berhenti daripada bersekongkol dengan Anwar Ibrahim kerana kempen Anwar Spring yang digerakkan Ketua Pembangkang itu sejak pilihan raya umum lalu bermotifkan peribadi.
Bekas peguam bela Anwar, Datuk Zulkifli Noordin berkata, Pas akan dihukum dengan lebih teruk oleh majoriti rakyat jika berterusan membiarkan diri dijadikan alat tunggangan Ketua Pembangkang kerana masyarakat mahukan keamanan bukan demonstrasi Anwar Spring.
Beliau yang bersetuju dengan tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melabelkan perhimpunan haram anjuran pembangkang sebagai Anwar Spring dan bukannya Malaysia Spring menambah, Pas perlu berhenti daripada terus diperbodohkan.
"Pendedahan bekas Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla adalah pengajaran terbaik dalam isu Anwar Spring ini. Anwar memungkiri perjanjian damai melibatkan Perdana Menteri apabila enggan menerima keputusan pilihan raya sebaliknya memilih demonstrasi ke jalanan.
"Dalam konteks ini bukan hanya rakyat perlu membuka mata tetapi paling penting Pas. Sampai bila Pas hendak menjadi kuda tunggangan Anwar demi cita-cita peribadi, bukan kerana memperjuangkan nasib rakyat," katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Semalam, Ahmad Zahid berkata, kempen Anwar Spring melalui penganjuran siri perhimpunan haram sengaja dicetuskan Ketua Pembangkang itu sebagai provokasi terhadap pasukan keselamatan selain bertujuan menarik perhatian media asing bagi memburukkan Malaysia.
Mengulas isu yang sama, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari berkata, dakwaan pakatan kononnya perhimpunan haram anjuran mereka adalah Malaysia Spring merupakan taktik lapuk untuk mengaburi mata rakyat mengenai perjuangan peribadi Ketua Pembangkang itu.
Katanya, Anwar cuba berselindung di sebalik nama Malaysia Spring agar motif politiknya tidak kelihatan peribadi di mata penyokong, sekali gus mampu mengheret rakyat untuk turut serta menyokong gerakan tersebut meskipun keselamatan negara menjadi taruhan.
"Sebab itu saya menyokong kenyataan Ahmad Zahid. Anwar Spring adalah agenda peribadi Anwar yang mahu menjatuhkan kerajaan secara tidak beretika bagi menjayakan nafsunya untuk menjadi Perdana Menteri dengan memperalatkan rakyat. Ini memang taktik Anwar.
"Jadi pesan saya kepada rakyat, jangan tertipu dengan Anwar yang mahu menghuru-harakan negara sekali gus menjemput kuasa asing untuk campur tangan dalam hal ehwal dalaman Malaysia kerana selaku individu antara paling rapat saya cukup kenal siapa Anwar," katanya.
Juragan Malawati..
Selasa, 28 Mei 2013
Siasat status halal makanan AirAsia?
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diminta menyiasat semua kemudahan penyajian makanan oleh syarikat-syarikat pembekal kepada syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia terutama di sektor Filipina, Thailand dan Hong Kong.
Sebuah gabungan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, Liga Lindungi Perlembagaan (Ligan) dalam satu kenyataan berkata, jabatan agama tersebut perlu mengesahkan status pensijilan halal berhubung kemudahan penyajian makanan dalam sektor penerbangan AirAsia di ketiga-tiga negara tersebut.
"Ligan juga meminta Jakim menyiasat kedudukan pensijilan halal oleh badan yang didakwa tidak diiktiraf.
"Kami meminta AirAsia menyatakan secara terang dan jelas tentang dasar syarikat tersebut berkaitan pensijilan halal di dalam mana-mana aspek operasinya, khusus penyediaan makanan," kata kenyataan berkenaan di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan turut meminta Jakim membuat pemeriksaan ke atas makanan yang disediakan oleh syarikat tersebut yang dipercayai makanan halal dan tidak halal dihidangkan bersama-sama.
NGO itu turut meminta Jakim menyiasat pakej-pakej percutian yang dianjurkan AirAsia yang mereka percaya tidak mengambil kira aspek halal walaupun dijanjikan begitu di dalam promosi tersebut.
Menurut kenyataan itu, selagi AirAsia tidak mengeluarkan jawapan rasmi, Ligan menggesa semua pengguna Islam memboikot makanan yang dijual AirAsia di dalam mana-mana penerbangannya.
"Kami juga mengajak dan menasihatkan orang ramai untuk mencemuh AirAsia dalam kalangan kenalan dan masyarakat sehingga syarikat berkenaan memohon maaf berikutan sikap biadab mereka terhadap semua pengguna terutama yang pernah melalui pengalaman pahit dengan syarikat penerbangan itu," tegasnya.
Juragan Malawati..
Daim: Anwar tetap mahu jadi PM hingga saat kematian?
Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin menyelar Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin yang tetap mahu menjadi Perdana Menteri sehingga ke saat kematiannya.
Selain Anwar, katanya, para pemimpin pembangkang seperti Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang tidak mempunyai nilai moral tinggi untuk bersara setelah kalah dan ini berbeza dengan pemimpin politik Barat yang menerima kekalahan secara terbuka dan meletak jawatan seperti bekas Perdana Menteri Britain, Gordon Brown.
"Biar saya ingatkan anda, Anwar telah mengatakan dia akan bersara jika gagal menawan Putrajaya (memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Anwar tidak mengotakan janji.
"Dia (Anwar) tidak akan bersara sehinggalah pada saat kematiannya. Dia tetap mahu jadi perdana menteri," katanya dalam satu wawancara dengan akhbar China Press yang dipetik daripada blog http://kadirjasin.blogspot.com/ hari ini.
Daim turut mengkritik tindakan pembangkang khususnya DAP dan PKR yang sehingga kini tidak dapat menerima kekalahan dan menganjurkan siri perhimpunan haram di seluruh negara bagi membantah keputusan PRU-13 yang tidak memihak kepada mereka.
Katanya, tindakan itu sengaja dilakukan pembangkang khususnya Anwar dan Kit Siang secara tidak bertanggungjawab agar mereka ditahan polis kerana perhimpunan sebegitu dikhuatiri menimbulkan insiden tidak diingini antara kaum, khususnya Melayu dan Cina.
"Bagaimanapun Anwar dan Kit Siang tidak peduli (kerana) jika terjadi lagi insiden antara kaum, mereka akan menyalahkan Barisan Nasional (BN). Jika anda sanggup mengorbankan keamanan dan kestabilan untuk keuntungan anda, kepimpinan jenis apakah ini?" soalnya.
Beliau menambah, para pengundi Cina yang hampir keseluruhan memilih pakatan pembangkang dalam PRU-13 sebenarnya telah termakan dakyah serta perkauman DAP kononnya masyarakat tersebut adalah mangsa yang dipinggirkan di negara ini.
Katanya, DAP juga menyebarkan sentimen bahawa PRU-13 lalu merupakan peluang bagi masyarakat Cina untuk 'mengajar' MCA dan Gerakan yang selama ini berada di bawah telunjuk UMNO dengan memberikan mesej bahawa mereka tidak mahu lagi dibuli UMNO dan Melayu.
"Cybertrooper mereka (pembangkang) bekerja 24 jam sehari dengan menghantar maklumat salah, putar belit, khabar angin dan sebagainya. Di mana (orang) Bangladesh? Di manakah kejadian terputus bekalan elektrik? Berapa ramai yang hilang dakwat di jari mereka mengundi sebanyak dua kali?
"Tun Dr. Mahathir Mohamad melarikan diri dengan menaiki jet peribadi? Penipuan demi penipuan sehingga masyarakat Cina percaya kepada (slogan) 'Ubah' dan 'Ini kalilah'," katanya.
Juragan Malawati..
Isnin, 27 Mei 2013
SPR Perlu Siasat Orang China Jadi Pengundi Hantu?
Sedang gerombolan pemimpin dan penyokong pembangkang sibuk memperkatakan konon wujudnya rakyat Bangladesh yang diimport sebagai pengundi hantu, diam tak diam ramai rakyat negara ini turut tertanya-tanya perihal kemungkinan kewujudan pengundi hantu dari negara China.
Asas persoalan ini cukup mudah kerana ramai pengundi keturunan Cina yang keluar awal pagi di pusat-pusat pengundian pada PRU-13 baru-baru ini bukan sahaja tak dikenali penduduk tempatan malah kebanyakannya bila disoal selidik agal bertutur dengan baik dalam Bahasa Melayu.
Malah ada banyak kes menunjukkan ramai yang langsung tak boleh bertutur Bahasa Kebangsaan, seolah-olah satu frasa kata pun tak ada dalam kepala mereka. Bukankah senario ini cukup pelik bagi rakyat Malaysia?
Biasanya jarang benar rakyat Malaysia dari pelbagai kaum yang tidak fasih bertutur Bahasa Kebangsaan meskipun ada antaranya sejak kecil belajar di Sekolah Kebangsaan Jenis Cina, namun masing-masing tetap boleh berbicara dalam Bahasa Melayu walaupun ada yang tidak begitu fasih.
Dua tahun lalu pihak Imigresen pernah mengumumkan terdapat lebih 90,000 warganegara China yang sudah tamat tempoh visa pelawatnya masih tinggal di negara ini termasuklah sebahagian besarnya berkecimpung dalam industri pelacuran, rumah urut, spa dan lain-lain aktiviti haram.
Tak mustahil angka itu jauh lebih besar dan ada kemungkinannya ada antara mereka yang terlibat dalam pemalsuan kad pengenalan dan menjadi pengundi. Jika perkara ini benar-benar wujud, maka ia merupakan satu ana,man kepada keselamatan negara.
Mana mungkin masa depan negara ini dibiarkan bebas ditentukan oleh warganegara asing. Justeru itu, pihak JPN dan SPR perlu mengambil inisiatif untuk menyiasat lebih lanjut perkara ini untuk membongkar kebenaran supaya tiada lagi yang tertanya-tanya.
Juragan Malawati..
Langgan:
Catatan (Atom)








.jpg)



