UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Ahad, 22 Jun 2014

Pemilihan semula PKR diwarnai kekecohan, pergaduhan?

S. Manikavasagam (dua dari kiri) ditenangkan oleh ahli parti selepas berlaku kekecohan semasa Pemilihan Semula PKR cabang itu di Stadium Tertutup Kuala Selangor, Selangor, semalam. 

Pemilihan semula Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kuala Selangor kecoh apabila calon ketua cabang itu bertikam lidah dengan seorang individu dipercayai penyokong kem Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ketika proses pemilihan berlangsung kira-kira pukul 1.35 petang ini, calon ketua cabang berkenaan, S.Manikavasagam difahamkan menegur tindakan individu berkenaan yang didakwa cuba berkempen di pintu masuk pusat pendaftaran undi di perkarangan Stadium Tertutup Kuala Selangor.

Bagaimanapun, teguran Manivasagam itu dibalas oleh individu terbabit sehingga tercetus perang mulut sehingga terpaksa dileraikan oleh para penyokong serta anggota jawatankuasa pemilihan parti.

Manikavasagam ketika ditanya mengenai kejadian tersebut menyifatkan ia cuma salah faham yang dikatakan berpunca daripada orang luar yang cuba berkempen.

"Tidak ada (gaduh), cuma salah salah faham sikit-sikit sahaja. Ada orang tukar-tukar chai (risalah nombor calon)...orang luar. Saya akan buat aduan kepada PKR Pusat," katanya ketika ditemui pemberita selepas proses mengundi kira-kira pukul 3.20 petang ini.

Sebelum itu, Manikavasagam enggan memberikan ulasan mengenai kejadian tersebut atas alasan tidak mahu dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Disiplin PKR memandangkan beliau pada 15 Mei lalu pernah digantung keahlian sebelum ditarik balik oleh jawatankuasa berkenaan pada 11 Jun lalu.

Tindakan ke atas Manikavasagam dibuat susulan kenyataan bekas Ahli Parlimen Kapar itu menerusi media yang mendakwa pencabarnya, Abdul Khalid terbabit dalam politik wang dalam pemilihan pertama PKR Cabang Kuala Selangor pada 11 Mei lalu.

Manikavasagam menerusi laporan sebuah portal berita, antarapos.com hari ini bagaimanapun mendakwa masih wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa.

Memetik laporan portal itu, Manikavasagam berkata, beliau difahamkan terdapat satu acara keramaian diadakan di Kolej Inpens bagi menjamu ahli-ahli parti sebelum mereka dibawa ke tempat mengundi di Stadium Tertutup Kuala Selangor hari ini.

"Dari awal saya dah cakap saya bantah rasuah, tapi hari ini saya kecewa kerana masih ada lagi berlaku rasuah tetapi apa pun saya akan laporkan kepada biro politik dan kita akan serah kepada JPP (Jawatankuasa Pemilihan Pusat) atau jawatankuasa disiplin parti," kata Manikavasagam.


Sementara itu, pemilihan PKR Cabang Kuala Langat di Dewan Orang Ramai Taman Sri Putra, Banting menyaksikan pergaduhan dua kumpulan dipercayai penyokong calon ketua cabang dengan penyokong penyandang jawatan itu yang menarik diri daripada pencalonan sebelum ini.

Pergaduhan itu berlaku ketika hampir proses pemilihan cabang berkenaan ditutup pada pukul 7 malam tadi.

Difahamkan pergaduhan tercetus setelah salah satu pihak tidak berpuas hati dengan proses pemilihan yang didakwa tidak telus.

Pemilihan semula PKR Cabang Sabak Bernam di Dewan Sungai Air Tawar, Sabak Bernam pula turut kecoh apabila terdapat ahli parti itu didakwa cuba melakukan provokasi untuk meraih undi sehingga berlaku pertengkaran kecil.

Seorang ahli PKR cabang berkenaan yang enggan dikenali mendakwa, pengedaran terlalu banyak risalah nama calon telah menimbulkan kerumitan kepada pengundi.

"Ada juga beberapa individu yang sudah dilucutkan keahlian daripada PKR, dilihat membantu memancing undi dan menimbulkan kekecohan dengan mengoyakkan gambar calon bertanding.

"Apabila ada penyokong calon berkenaan ternampak kertas itu dikoyakkan, mulalah kecoh kerana mereka tidak puas hati," dakwanya.

Juragan Malawati..

Isnin, 16 Jun 2014

Rahsia terbongkar...!!! Speaker DUN Selangor tolak semua soalan Presiden PKR?


Tindakan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menolak semua soalan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menimbulkan kekecohan memandangkan beliau adalah presiden PKR.

Speaker, Hannah Yeoh menolak semua 10 soalan yang dikemukakan secara bertulis oleh Wan Azizah yang juga Adun Kajang kerana tidak mengikuti prosedur ditetapkan.

Difahamkan, soalan berkenaan ditolak berikutan kesilapan teknikal iaitu soalan tidak boleh melebihi 40 perkataan sedangkan semua soalan yang dikemukakan melebihi had dibenarkan.

Petugas media yang membuat liputan persidangan DUN Selangor pada Isnin hairan kenapa Wan Azizah yang berpengalaman sebagai ahli parlimen melakukan kesilapan tersebut.

Sementara itu, speaker turut menolak lima daripada sembilan soalan yang dikemukakan oleh Adun Rawang, Gan Pei Nei.

Wan Azizah mengangkat sumpah sebagai Adun Kajang pada 7 April lalu di depan speaker selepas memenangi Pilihan Raya Kecil Kajang.

Sebelum menang di Kajang pada 23 Mac lalu, Wan Azizah pernah menjadi ahli Parlimen Permatang Pauh selama lebih daripada satu penggal sebelum diambil alih oleh suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui satu pilihan raya kecil.

DUN Selangor mulai bersidang hari ini hingga 27 Jun depan.

Juragan Malawati..

Sabtu, 14 Jun 2014

BN Selangor benarkan Pas laksana hudud?


Wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Selangor hari ini bersetuju menarik semula usul meminta kerajaan negeri mengkaji kebarangkalian pelaksanaan hudud di negeri ini yang sepatutnya dibentangkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Isnin ini.

Penarikan balik usul itu menurut Ketua Pembangkang DUN negeri, Datuk Mohd. Shamsudin Lias dibuat bagi memberi peluang kepada 15 wakil rakyat daripada Pas negeri mengemukakan sendiri usul berkaitan hukum hudud di Selangor yang merupakan antara agenda serta matlamat besar dalam perjuangan parti itu selama ini.

Selain menjadi dasar perjuangan Pas, beliau melihat isu hudud juga menjadi bahan kempen yang sering dilaung-laungkan oleh parti itu terutamanya ketika pilihan raya.

"Justeru, dalam perbincangan dengan wakil-wakil rakyat BN semalam, kita putuskan untuk menarik balik usul berkenaan yang sepatutnya dibentangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Kamarol Zaki Abdul Malik dalam sidang DUN nanti.

"Usul itu dilihat bukanlah untuk mengemukakan rang undang-undang mengenai pelaksanaan hudud di Selangor. Sebaliknya, usul itu lebih menjurus kepada pertanyaan mengenai pendirian kerajaan negeri sama ada mahu melaksanakan hukum hudud di negeri ini termasuklah mungkin akan mengadakan kajian atau pandangan rakyat mengenai pelaksanaan hukum itu.

"Oleh kerana hudud merupakan agenda Pas, maka biarlah parti itu mengusulkan pelaksanaan hukum itu di Selangor. Kita lihatlah sejauh mana kebertanggungjawaban Pas dalam merintis pelaksanaan hudud di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan tapak projek Hybrid Off River Augmentation System (HORAS) di Bestari Jaya, di sini hari ini.

Yang hadir sama meninjau tapak projek tersebut ialah ADUN Permatang, Sulaiman Abdul Razak; ADUN

Dengkil, Mohd. Shahrum Mohd. Sharif; ADUN Kota Damansara, Halimaton Saadiah Bohan dan ADUN Sungai Air Tawar, Kamarol Zaki.


Dalam pada itu, Mohd. Shamsudin yang juga ADUN Sungai Burong mahu Pas khususnya di Selangor lebih bertanggungjawab dalam setiap tindak-tanduk serta janjinya kepada rakyat untuk menubuhkan negara Islam termasuklah melaksanakan sistem perundangan Islam sekiranya diberikan mandat mentadbir negara atau negeri.

"Di Kelantan, kerajaan negeri itu dilihat membawa sendiri usul untuk melaksanakan hudud. Sepatutnya Pas Selangor yang telah mendapat mandat mentadbir negeri ini perlu melaksanakan usaha yang sama, selaras dengan agenda perjuangan parti itu sendiri.

"Jangan hanya bercakap. Pas Selangor yang mentadbir negeri ini kena tunjukkan komitmen serta pendirian mereka dalam pelaksanaan hudud dengan mengadakan kajian, penilaian persepsi rakyat dalam kalangan orang Islam dan bukan Islam selain menyediakan penelitian teknikal melibatkan pembuktian, pendakwaan dan hukuman melibatkan kes-kes syariah," jelasnya.

Sementara itu, Sulaiman meminta Pas tidak menjadikan alasan kononnya tidak cukup suara dalam DUN untuk membentangkan usul menyatakan pendirian atau mengadakan kajian mengenai pelaksanaan hudud di Selangor.

"Selain Pas ada 15 kerusi DUN, Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga mempunyai 10 ADUN beragama Islam dalam DUN Selangor termasuklah 12 orang ADUN Islam daripada BN. Sekiranya Pas mengusulkan kajian hudud itu, mungkin kesemua ADUN beragama Islam boleh memberikan pertimbangan," ujarnya.

Juragan Malawati..

Jumaat, 6 Jun 2014

Gobind salahkan Khalid berhubung manifesto pakatan?


Selepas menyalahkan Pas yang dikatakan punca kekalahan DAP dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo menyelar pula sikap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim kerana menafikan penghapusan lebuh raya bertol adalah sebahagian daripada manifesto pakatan pembangkang di negeri itu sebelum ini.

Sambil merujuk kepada isu pembinaan Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex) di Petaling Jaya, Gobind berkata, Abdul Khalid tidak sepatutnya memandang rendah rakyat Selangor dengan mengeluarkan kenyataan sedemikian walaupun sebelum ini manifesto pakatan pembangkang pernah menyebut jika mereka menjadi kerajaan Persekutuan, maka lebuh raya bertol akan dihapuskan.

Ketidaksepakatan dalam pakatan pembangkang lebih terserlah apabila Gobind yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat DAP, terus mendesak Abdul Khalid agar tidak lari daripada hakikat yang telah dicapai di dalam manifesto sebelum ini.

“Kita semua tahu kita tidak menang sebagai kerajaan Persekutuan. Tetapi kita menang di Selangor dan lebuh raya ini (Kidex) merentasi Selangor, jadi kerajaan negeri ada banyak kuasa untuk menghentikan atau setidak-tidaknya memberi tekanan kepada kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan projek lebuh raya bertol ini.

“Sebagai Menteri Besar, Abdul Khalid seharusnya mencari jalan untuk berbuat demikian. Beliau kena faham ini dan berhenti memberi gambaran kepada semua bahawa dia adalah seorang yang lemah dan tidak berdaya," katanya di dalam laman sosial Facebook hari ini.

Pembinaan Kidex sebelum ini menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk Selangor terutama di sekitar kawasan terlibat di Petaling Jaya yang mendesak kerajaan negeri Selangor menghentikan projek tersebut yang disifatkan bakal mendatangkan kesan buruk kepada rakyat di negeri itu.

Ramai yang mendesak agar kerajaan negeri memenuhi manifesto mereka untuk menghapuskan tol jika menang Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu, namun pembinaan lebuh raya itu membuktikan sebaliknya.

Mereka mendakwa pembinaan Kidex juga akan menyebabkan perniagaan hampir 600 peniaga dan 3,784 pemilik tanah berada dalam situasi tidak menentu kerana nilai harga hartanah dikhuatiri merudum akibat masalah yang timbul kelak.

Juragan Malawati..

Rabu, 4 Jun 2014

Kenapa MB Selangor Berdiam Diri Isu Kahwin di Kuil Hindu?


Isu seorang wanita yang memakai nama Islam dan berkahwin di kuil Hindu di Petaling Jaya Ahad lalu mengundang reaksi berbeza. Di kalangan umat Islam sendiri ada yang mengecam dan ada yang menyokong tindakan JAIS menyerbu upacara perkahwinan tersebut.

Dari segi pendirian politik pula, UMNO menyifatkan bahawa serbuan tidak sepatutnya berlaku kerana JAIS mampu bertindak dan menyiasat lebih awal tanpa perlu mengganggu majlis dan memalukan sesiapa.

Bagaimanapun, PAS mempunyai pandangan berbeza. Berdasarkan artikel di Harakahdaily oleh Dr. Ridhuan Mohd Nor, tindakan JAIS dianggap wajar.

Hujah beliau, “Bagi umat Islam, tindakan Jais amat wajar kerana ia berjaya menyelamatkan akidah umat Islam dari terkeluar dari garis Islam. Serbuan mungkin terpaksa dilakukan setelah mendapat maklumat tepat mengenai keislaman gadis itu bagi ‘membebaskan’ akidah beliau dari terjerumus ke lembah kemusnahan yang lebih parah di kemudian hari.”

Nampaknya, dalam isu ini UMNO mengambil sikap lebih terbuka manakala PAS pula lebih ekstrem. Ini menimbulkan persoalan tentang sama ada pendirian PAS itu mendapat restu Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dari PKR.


Kelihatan seolah-olah ada ‘double standard’ apabila memperkatakan tentang agama di Selangor. Entah kenapa isu Islam-Hindu jelas tidak begitu ‘menyentuh’ perasaan kepimpinan Selangor berbanding isu Islam-Kristian.

Suatu ketika, apabila isu umat Islam dimurtadkan oleh pendakwah Kristian dan JAIS bertindak menyerbu gereja, Menteri Besar Selangor bersama-sama DAP pantas bangun membela Kristian. Begitu juga apabila Bible dirampas oleh JAIS, Khalid Ibrahim berusaha memastikan Bible tersebut dipulangkan kepada Bible Society Malaysia.

Setahu kita, JAIS adalah singkatan kepada ‘Jabatan Agama Islam Selangor’ dan bukannya ‘Jabatan Agama Kristian’. JAIS pula adalah di bawah kuasa Menteri Besar Selangor. Justeru, kenapakah Menteri Besar hanya berdiam diri dalam isu kahwin Islam-Hindu ini?

Mungkinkah sudah menjadi prinsip Pakatan Rakyat untuk menganaktirikan kaum India dan membela kaum Cina sahaja? Kita melihat trend meminggirkan kaum India amatlah jelas di dalam PR, terutamanya DAP di mana hampir 800 perwakilan India telah menerima notis mesyuarat CEC.


Mungkinkah kerana DAP yang menguasai Khalid Ibrahim secara tidak langsung, maka beliau sering terlepas pandang akan masalah yang melibatkan kaum India dan kurang peka dengan masalah yang melibatkan Melayu Islam?

Penulis tidak berniat untuk menghukum siapa salah dan siapa benar dalam isu kahwin di kuil Hindu ini, kerana ianya semua bergantung kepada pihak yang lebih arif tentang soal agama. Namun, penulis seperti juga seluruh rakyat Selangor ingin melihat kepimpinan yang berkesan oleh Menteri Besar. Khalid wajib mengambil pendirian atau melontarkan pendapat dalam isu ini, kalau pun bukan memberi arahan kepada sesiapa.

Berdiam diri dalam mengahadapi isu sensitif iaitu masalah antara agama, membuktikan bahawa Khalid Ibrahim bukanlah seorang pemimpin yang baik. Sebagaimana beliau gagal mencongak permasalahan air di Selangor, begitu jugalah beliau tidak mampu mencongak akan akibat yang mampu berlaku dari masalah serbuan JAIS ke atas kuil Hindu.

Berdasarkan isu ini, tidak salah rasanya jika dikatakan bahawa Khalid Ibrahim bukanlah Menteri Besar yang adil kepada rakyatnya.

Juragan Malawati..

Ahli Parlimen Pas bantah PBT?


Keputusan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mahu mengambil alih pengurusan pasar pagi dan malam yang sebelum ini dikendalikan persatuan menimbulkan rasa kurang senang Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad.

Beliau sama sekali tidak bersetuju dengan keputusan tersebut atas alasan tidak selari dengan usaha untuk meningkatkan penglibatan persatuan penduduk di negeri itu dalam aktiviti kemasyarakatan termasuk pengurusan di kawasan masingmasing.

Sehubungan itu, beliau tetap mempertahankan hak jawatankuasa persatuan penduduk untuk mengutip bayaran sewa tapak pasar pagi dan malam sebagai wakil kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk yang dianggotai ahliahli Pas.

"Saya tidak setuju dengan keputusan kerajaan negeri mengambil alih pengurusan pasar pagi dan pasar malam yang diuruskan oleh jawatankuasa penduduk dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk diletakkan sepenuhnya di bawah PBT.

"Ini bukan soal duit (kutipan sewa) tetapi pengurusan pasar malam dan pagi di bawah jawatankuasa penduduk dan JKKK adalah untuk memberi peluang kepada mereka menguruskan kawasan masingmasing yang dilihat lebih kepada aktiviti kemasyarakatan," katanya.

Beliau mengulas keputusan kerajaan negeri sebelum ini yang mengarahkan seluruh PBT mengambil alih pengurusan pasar pagi dan malam di Selangor yang difahamkan mendapat bantahan daripada jawatankuasa penduduk serta JKKK di beberapa kawasan di negeri itu termasuk Shah Alam.

Pada 8 Mei lalu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri, Datuk Teng Chang Khim menerusi laporan portal berita kerajaan negeri, www.selangorku.com mengesahkan arahan pengambilalihan tersebut yang dibuat secara berperingkatperingkat sejak dikuatkuasakan pada 2012 lagi.

Menurut Chang Khim, menerusi pengambilalihan itu pengurusan tapak pasar pagi dan malam diletakkan di bawah bidang kuasa PBT sepenuhnya termasuk urusan kutipan sewa tapak.


Sebelum ini, kirakira 6,000 penjaja dan peniaga Melayu turut membantah tindakan kerajaan PKR Selangor mengambilalih secara berperingkat pengurusan tapak pasar malam di seluruh negeri itu mulai awal tahun ini.

Naib Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Selangor, Hanim Mohd. Said berkata, pengambilalihan tersebut menyebabkan mereka kini terpaksa akur dengan apa sahaja peraturan atau syarat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Khalid menyatakan beliau menerima aduan daripada beberapa jawatankuasa penduduk serta JKKK mengenai arahan berkenaan dan telah meminta pertimbangan kerajaan negeri supaya tidak dilaksanakan.

"Bagaimanapun, setakat ini saya tidak menerima sebarang maklum balas daripada kerajaan negeri. Saya minta kerajaan negeri supaya mengambil alih pengurusan pasar pagi dan malam yang dikendalikan jawatankuasa penduduk yang bermasalah sahaja, yang tidak ada masalah tidak perlu ambil alih," jelasnya.

Pada masa sama, Khalid ketika ditanya mengenai dakwaan penglibatan ahli Pas dalam aktiviti kutipan sewa tapak pasar pagi dan malam berkata, perkara itu tidak ada kenamengena kerana pengurusan pasar terbabit sebelum ini di bawah jawatankuasa penduduk dan JKKK yang mana ahlinya mungkin terdiri daripada anggota pelbagai parti politik.

Juragan Malawati..

Selasa, 3 Jun 2014

Malaysia atasi AS segi kecekapan penjagaan kesihatan?

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Helmi Yahya mencuba salah satu peralatan kesihatan yang dipamerkan di Pameran dan Persidangan Penjagaan Kesihatan selepas menyempurnakan perasmiannya di Petaling Jaya hari ini.

Keberkesanan polisi-polisi kesihatan yang dilaksanakan kerajaan berjaya meletakkan Malaysia antara 20 negara terbaik dari segi kecekapan penjagaan kesihatan, mengatasi beberapa negara maju termasuk Amerika Syarikat (AS).

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Hilmi Yahya, Malaysia diletakkan di kedudukan ke-18 dunia oleh agensi berita Bloomberg pada Ogos 2013 lalu, jauh mengatasi AS yang berada di kedudukan ke-46.

Menurut beliau, kejayaan tersebut adalah kerana keberkesanan polisi-polisi kesihatan yang dilaksanakan oleh kementerian itu selain kerjasama erat antara kerajaan dan para peserta industri terutamanya pihak hospital swasta.

"Hasil kerjasama ini (kerajaan dan swasta) telah memberikan manfaat besar kepada seluruh rakyat dan diiktiraf oleh pelbagai pihak di seluruh dunia.

"Kesemua inilah yang menjadi asas kepada kecekapan tinggi penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan negara," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pameran dan Persidangan Penjagaan Kesihatan Antarabangsa (IHEC 2104) di sini hari ini.

Pameran dan persidangan itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid sehingga 5 Jun dan disertai oleh 145 pempamer yang terdiri daripada syarikat-syarikat industri kesihatan dari dalam dan luar negara.

Juragan Malawati..