UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Ahad, 7 Ogos 2011

Pas - 'Parti Aloh Sokmo'..!!!

Sebaik-baik sahaja Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan di muktamar Pas baru-baru ini bahawa partinya menggugurkan matlamat membentuk negara Islam, sebaliknya mahu wujudkan negara berkebajikan jika dapat memerintah Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengucapkan tahniah kepada Pengerusi DAP Karpal Singh.

Ini kerana setelah puluhan tahun, akhirnya hasrat Pengerusi DAP dan partinya untuk menghalang Pas membentuk sebuah negara Islam telah berjaya. Perjuangan Pas sejak tahun 1950-an berjaya dipatahkan DAP. Kata orang Kelantan, "Pas aloh ko DAP" (Pas kalah kepada DAP).

Ini hakikat yang sukar diterima orang Pas. Pusingan U yang diumumkan Hadi Awang buka sahaja mengaibkan ramai penyokong Pas akar umbi, malah dianggap menghina pejuang dan aktivis sebelum ini. Sekali gus, mengiktiraf kedudukan dominan DAP dalam pakatan pembangkang yang dianggotainya.

Seminggu selepas muktamar, Naib Presiden Pas Salahuddin Ayub mengumumkan bahawa sebuah panel khas akan ditubuhkan untuk membincang kandungan negara berkebajikan yang diinginkan Pas. Sebagaimana konsep negara Islam, Pas bercakap dulu, fikir kemudian.

Dan dalam hal ini, Pas kena memerah otak untuk mengisi konsep negara berkebajikan yang masih tidak jelas. Saya percaya sebahagian besar yang difikirkan ialah bagaimana memastikan konsep negara berkebajikan tidak ditentang juga oleh DAP nanti. Pas kena pertimbangkan perasaan DAP dan risiko daripada tentangan politik dari aspek ideologi.

Keputusan Kerajaan Kedah menarik balik arahan melaksanakan peraturan terhadap premis hiburan di bulan Ramadan adalah satu lagi episod "Pas aloh ko DAP". Walaupun pemimpin Pas memberi pelbagai alasan bahawa ia bukan demikian dan memberi macam-macam putaran terhadapnya, hakikatnya ialah keputusan itu dibuat setelah diugut oleh Karpal Singh.

DAP anggap keputusan kerajaan Pas Kedah sebagai "tidak cerdik" (baca: bodoh) dan boleh menjejaskan hubungan kedua-dua parti. Andainya tiada ugutan kes ini dibawa ke mahkamah, masakan pucuk pimpinan Pas terbabit sehingga mendesak kerajaan negeri mengubah pendirian.

Dalam kes terbaru, wakil Pas di Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali, yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri, dikecam teruk oleh pemimpin DAP Lim Kit Siang dan Theresa Kok atas pendirian terbukanya mempertahan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama Rabu lalu. Serbuan itu dibuat atas laporan adanya usaha menyebarkan agama Kristian kepada orang Islam atau memurtadkan mereka.

Sebelum episod ini, "Pas aloh ko DAP" di Selangor. Exco DAP Selangor, Ronnie Liu perjuangkan penjualan arak dan meluluskan banyak lesen rumah urut, Pas tidak boleh berbuat apa.

Dia arah Majlis Bandaraya Shah Alam kembalikan arak yang dirampas kepada kedai yang melanggar peraturan menjual. Dia juga arahkan Majlis Perbandaran Subang Jaya tarik balik larangan ke atas orang Islam bekerja di premis menjual arak.

Pemimpin-pemimpin DAP dibenarkan masuk masjid atas urusan politik dan ada yang masuk dalam keadaan tidak ikut adab tertib Islam.

Melihatkan kuatnya tekanan DAP (dan pihak lain, termasuk Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim, dari PKR) ke atas Hasan, nampaknya Pas akan 'aloh' lagi kepada DAP dalam hal ehwal agama dan orang Islam di Selangor.

Di Pulau Pinang pun sama, "Pas aloh ko DAP". Exco DAP berani campur tangan dalam hal ehwal Islam, sampai perarakan Maulidur Rasul pun dibatalkan.

Lim Guan Eng sudah wujudkan Exco bagi bukan Islam. Sedikit demi sedikit hal-hal Islam diceroboh, dan umat Islam pula yang bertelagah sesama sendiri.

Sebelum ini, Pas memberi alasan berkawan dengan DAP kerana ingin berdakwah dan memperkenalkan Islam kepada pemimpin DAP seterusnya mengislamkan mereka dalam masa terdekat. Soalnya Pemimpin DAP mana yang sudah masuk Islam sejak Pas mula menjalin hubungan politk dengan DAP?

Selepas pilihan raya 2008, orang Pas tolong jaja cerita mengenai kepimpinan Lim Guan Eng ala Khulafah Al-Rasyidin. Penceramah-penceramah Pas tolong kempen termasuk waktu kuliah maghrib di masjid-masjid mengenai idola Guan Eng iaitu Khalifah Umar Abdul Aziz.

Malah ada ustaz-ustaz Pas mengumumkan Guan Eng akan peluk Islam, tetapi terpaksa menunggu sehingga bapanya Lim Kit Siang peluk Islam dulu dan melaksanakan undang-undang Islam sekiranya pakatan pembanghkang berjaya menawan Putrajaya kelak.

Sudahlah Pas gagal melaksanakan sebarang undang-undang Islam setelah lebih 20 tahun memerintah Kelantan, mereka meletakkan pula tanggungjawab hendak melaksanakan undang-undang Islam ke atas bahu Guan Eng dan Kit Siang.

Amat malang, terlalu ramai pengikut Pas yang mempercayai momokan ustaz-ustaz Pas ini, yang berjaya mewujudkan segolongan pengikut yang taksub dan mempercayai apa saja yang diucapkan.

Apa yang Pas berjaya lakukan ialah memberi dorongan kepada pemimpin DAP menghina Islam, menghina al-Quran dan menghina masjid. Pemimpin-pemimpin DAP sesuka hati memetik ayat al-Quran semasa berceramah politik dan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menyakiti hati orang Islam.

Tapi Pas mempertahankan mereka walaupun hadis dan ayat al-Quran dipersenda. Soalnya: dakwah macam mana yang Pas buat untuk DAP sampai DAP jadi berani begitu?

Pemimpin PKR dan Pas di Selangor dan Pulau Pinang tidak lagi berani bercakap mengenai kepentingan Melayu dan kedaulatan Islam kerana dicap sebagai rasis. Kononnya atas dasar 'tahaluf siyasi', Pas berpakat dengan DAP untuk mendapat kuasa, seterusnya untuk mengembang Islam.

Hakikatnya Islam bukan sahaja tidak berkembang, malah pemimpin Pas sibuk pula mencari ayat-ayat Quran sebagai rujukan untuk menghalalkan tindakan-tindakan DAP.

Nampak sangat kedudukan Pas yang sedang berkecamuk dan pemikiran pemimpin yang bercelaru. Negara Islam pun dah jadi Negara Kebajikan. Slogan 'Membangun Bersama Islam' kini tukar jadi 'Pas Untuk Semua. '

Dulu Karpal Singh kata Pas kena langkah mayat dia jika mahu tubuh negara Islam. Baru-baru ini, pemimpin Pas, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, yakni bekas Speaker DUN Kelantan, pula kata langkah mayat dia jika ada sesiapa mahu serang Karpal Singh.

Kalau Pas mendalami pengertian bahawa khalifah hanya menjadi khalifah yang sah selama mana dia benar-benar mengikuti hukum-hukum Allah, tidak mungkin Pas akan sanggup menobatkan seorang pemimpin DAP anti-Islam setaraf Khalifah al-Rasyidin.

Bila timbul cerita Tengku Razaleigh Hamzah, dan bukannya Abdul Hadi Awang mungkin menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai Ketua Pembangkang untuk menawan Putrajaya, sekali lagi 'Pas aloh'.

Padahal, di kalangan penyokong Pas, Abdul Hadi adalah calon mereka dan pernah dinobatkan sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia.

Nampaknya, Pas kecewa lagi. Tidak hairanlah jiwa Pas kini sakit, hatinya penuh dengan dendam dan nafsu Qarun yang semakin membuak. Saya percaya ramai pemimpin dan ahli Pas asal menangis melihat rupa wajah Pas hari ini: parti pak turut yang melukut di tepi gantang, parti yang aloh sokmo.

Oleh : DATUK DR. MASHITAH IBRAHIM

Juragan Malawati..

Sabtu, 6 Ogos 2011

Dr. Hasan Ali - Saya rela dipecat!

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali, yang tidak disenangi oleh anggota Exco yang lain atas ketegasannya mengenai soal Islam, menegaskan beliau sanggup dipecat demi kepentingan akidah ummah.

Katanya: "Saya sanggup melakukan apa sahaja termasuk menerima kenyataan jika saya diminta melepaskan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri dan apa-apa jawatan sekali pun demi memperjuangkan apa yang saya yakin dapat membantu umat Islam, khususnya di negeri Selangor."

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas entri terbaru blog Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin (http://zul4kulim.blogspot.com) bertajuk Genggam Bara Api!

Zulkifli dalam tulisannya yakin Dr. Hasan akan digugurkan daripada jawatan Exco Kerajaan Selangor ekoran tindakannya menyokong Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu sebuah gereja Methodist yang dikatakan menjalankan kegiatan dakwah terhadap orang Islam di Damansara Utama baru-baru ini.

Beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas sebelum ini turut membid as Dr.Hasan yang mempertahankan tindakan JAIS itu. Malahan seorang pemimpin Pas menganggap kenyataan Dr.Hasan dalam isu berkenaan tidak mewakili parti itu.

Mengulas lanjut, Dr. Hasan menegaskan, beliau telah memperjuangkan isu mengenai umat Islam di Selangor sejak dulu lagi, terutamanya berhubung isu penjualan arak di Shah Alam.

"Saya tidak mahu menyentuh isu gereja itu kerana mematuhi arahan tutup mulut (gag order) oleh Menteri Besar. Tapi saya hanya menjawab mengenai soalan saudara berhubung persoalan yang ditimbulkan oleh YB Zul mengenai nasib saya itu.

"Jika sesiapa pun yang percayakan kepada soal keharmonian beragama, maka soal kesucian agama Islam tidak boleh diganggu-gugat sama sekali dan itulah yang saya perjuangkan, adakah itu salah?" katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengikut rekod terdahulu, Dr. Hasan pernah diberi amaran oleh Jawatankuasa Disiplin Pas kerana membangkitkan mengenai soal penjualan arak di Shah Alam. Tindakan itu diambil kerana Pas tidak mahu hubungannya dengan parti-parti dalam pakatan pembangkang, terutamanya DAP, terjejas ekoran pendedahan Dr. Hasan itu.

Dalam Muktamar Pas baru-baru ini Dr. Hasan gagal mempertahankan jawatannya sebagai Naib Presiden kerana tidak mendapat sokongan daripada puak-puak Erdogan yang didokong oleh Anwar Ibrahim. Ekoran kekalahan itu, Dr. Hasan turut digugurkan sebagai Pesuruhjaya Pas Selangor.

Mingguan Malaysia difahamkan Pas Pusat dijangka bermesyuarat esok dan soal mengenai tindakan terbaru Dr. Hasan dalam soal gereja itu dijangka turut dibincangkan. Difahamkan Dr. Hasan sering menerima tekanan daripada anggota-anggota Exco bukan Islam DAP dan PKR, jika soal-soal mengenai Islam disentuh.

Sebagai rekod selain Dr.Hasan terdapat sembilan lagi yang menduduki jawatan Exco Kerajaan Selangor iaitu Teresa Kok (DAP), Yaakob Sapari (PKR), Rodziah Ismail (PKR), Dr. Xavier Jayakumar (PKR), Dr. Halimah Ali (Pas), Iskandar Abdul Samad (Pas), Ronnie Liu (DAP), Elizabeth Wong (PKR) dan Ean Yong Hian Wah (DAP).

Dalam semua Exco itu, dikatakan Teresa Kok, Dr. Xavier, Ronnie Liu dan Elizabeth Wong adalah antara mereka yang sering menentang Dr. Hasan.

Dalam pilihan raya umum 2008, pakatan pembangkang merampas Selangor daripada Barisan Nasional setelah memenangi 36 daripada 56 kerusi. DAP mendapat 13 kerusi, PKR 15 dan Pas lapan kerusi.

Juragan Malawati..

PAS Selangor tuntut penjelasan dari Hasan Ali?

PAS Selangor menuntut penjelasan exco kerajaan Selangor Dr Hasan Ali yang mempertahankan serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap sebuah gereja di Petaling Jaya.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri Khalid Samad berkata pihaknya tidak dapat mengulas lanjut buat masa ini sehinggalah laporan berkaitan diperoleh terlebih dahulu.

Kita harap ada kebijaksanaan dalam isu seperti ini. Kita simpan komen akhir sehinggalah dapat laporan JAIS dan mesyuarat dewan bersama Hasan Ali untuk dapatkan penjelasan lanjut lagi.

“Kita nak tengoklah apa bukti yang dia kata ada itu,” katanya dalam satu sidang media di pejabatnya di Shah Alam .

JAIS sebelum ini memberi alasan terdapat bukti penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam.

Setakat ini, “kecuali satu” pihak, tiada mana-mana pihak yang mengaitkan persoalan pengembangan agama bukan Islam terhadap penganut Islam, tambah Khalid.

Bercakap dalam sidang media di pejabatnya di Shah Alam hari ini, Khalid menegaskan, Islam menegaskan bahawa prinsip bahawa rumah ibadat mesti dihormati tidak kira apa agamanya sekali pun.

“Kalau hadir, (Datuk Seri) Najib (Razak) pun pergi ke Vatican bertemu Pope. Itu sebesar-besarnya gereja di dunia,” katanya sambil berhujah tindakan itu tidak boleh dijadikan kesimpulan sebagai proses memurtadkan Islam.

Tindakan tak beretika

Bagaimanapun, tegasnya, tindakan “masuk tanpa waran dan tanpa kebenaran” ke tempat suci tersebut haruslah dielakkan kerana ia juga dikira isu sensitif yang boleh menimbulkan salah faham dan ketegangan antara kaum.

“(Insiden) ini hasil didikan dan pentarbiayahan BN selama ini. Nak tunjuk kuat, ramai, ada kuasa. Tetapi lebih penting tunjuk akhlak dan keperibadian mulia dan mampu hormati satu sama lain,” katanya.

“Saya baru balik dari Gaza. Di Gaza Israel ceroboh masjid ikut suka, kita bantah. Kita ada perasaan begitu. Saya rasa orang agama lain pun ada perasaan, pandangan sama. Pada pandangan PAS, tempat ibadat perlu dihormati,” katanya.

Berhubung serbuan JAIS kelmarin, Khalid berhujah, sekiranya terdapat individu melarikan diri sekali pun ia tidak bermaksud melakukan perbuatan salah.

“Biasalah, bila rempuh orang akan cuba lari. Mungkin dia rasa duduk (situ) pun kesalahan, (jadi) dia takut,” kata Khalid yang juga anggota parlimen Shah Alam.

Sementara itu, Setiausaha PAS Selangor Khairuddin Othman pula menyifatkan tindakan JAIS itu sebagai tidak beretika dan kurang sopan.

“Pengalaman dulu JAIS pernah masuk surau dan masjid secara kurang beretika. Tetapi itu zaman dulu, tetapi terbawa (hingga sekarang) mungkin,” katanya.

Inilah jadinya apabila PAS sudah dikuasai oleh kumpulan erdogan. Politik menghalalkan cara, ugama tergadai. Nampaknya Hasan Ali berseorangan mempertahankan Islam di Selangor. Wakil PAS yang lain dok jaga periuk nasi masing-masing. Wallahuallam.

Juragan Malawati..

Jumaat, 5 Ogos 2011

Hasan Ali pertahan tindakan JAIS!

Tindakannya menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama mencetuskan kemarahan DAP, yang secara terang-terangan mempunyai hubungkait dengan perkembangan agama kristian di negara ini.

Bukan menuduh, tetapi penglibatan DAP dengan gereja-gereja seperti yang ditunjukkan di PRN Sarawak serta kontroversi di Penang menceritakan segala-galanya.

Hasan Ali bertindak berdasarkan maklumat dimana terdapat kebarangkalian pemurtadan umat Islam di gereja berkenaan. Dan selaku Exco Agama Islam, beliau berhak atas kapasiti tersebut. Dan tindakannya terbukti berasas apabila di majlis makan malam anjuran gereja itu telah disertai oleh kira-kira 12 penganut Islam. Mereka telah ditahan, dan akan disiasat dibawah Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.

Hasan Ali sebenarnya dalam bahaya. Khalid Ibrahim sudah mengarahkan agar laporan penuh dibuat berhubung dengan serbuan tersebut. Malah, Khalid dikhabarkan telah menyatakan kekesalan ekoran dari peristiwa itu dan mahu segera berjumpa dengan pihak Gereja Methodist itu. Khalid sekali lagi mempamerkan “panik” apabila terpaksa berhadapan dengan DAP, walhal apa yang terjadi adalah berlandaskan undang-undang yang termaktub di Selangor.

Di penghujung kariernya, Hasan Ali dilihat cuba membuat “damage control” setelah dihujani pelbagai kritikan berhubung isu yang melibatkan kesucian agama Islam. Mungkin agak terlewat, namun itulah tanggungjawabnya. Dan Hasan Ali seolah sudah menghidu, tiada peluang kedua untuknya selepas ini. Maka, tanggungjawab terhadap agamanya wajib dilaksanakan, kerana tiada apa yang tinggal untuknya selepas ini.

Tindakan ini tidak disenangi bukan sahaja DAP, malah puak-puak Erdogan di dalam PAS. Hasan Ali akan berdepan dengan ranjau berduri untuk sekali lagi. Bukan sahaja dari Pakatan, malah dari dalam PAS sendiri.

Apa pendirian PAS dalam isu ini? Apa pula kenyataan yang bakal kita dengar dari Dewan Pemuda PAS yang selalunya lantang mengkritik kerajaan dalam hal ehwal Islam di negara ini?

Apa pula kata penyokong PAS yang pada waktu Ramadhan ini, tazkirah daulah khilafah Islamiyah dan berjuang di jalan Islam yang dibicarakan selepas terawih oleh ustaz-ustaz PAS dijangka cukup berleluasa di masjid dan surau di negeri Selangor?

Masihkah mereka terus tertipu oleh bicara murahan dari ustaz-ustaz PAS ini, sedangkan tindakan yang diambil oleh Hasan Ali “dilaknat” oleh pemimpin-pemimpin yang diangkat oleh ahli-ahli PAS sendiri?

Paling menarik, Hasan Ali bertindak pada masa yang sesuai. Ia dilakukan sewaktu “musuh ketatnya”, Khalid Gereja tiada di dalam negara. Pastinya Khalid sedang menyumpah seranah di luar sana kerana tidak dapat menunjukkan taat setianya kepada DAP!

Sekurang-kurangnya, Hasan Ali sudah berubah menjadi berani, berbanding dengan rakan-rakannya yang lebih suka menjilat bontot DAP!

Selepas ini : PAS Selangor tuntut penjelasan dari Hasan Ali?

Juragan Malawati..

Isu gereja dan murtad : MB Khalid minta JAIS siapkan laporan!

Tempat yang dipercayai telah diserbu oleh Jabatan Agama Islam Selangor, semalam.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengemukakan laporan penuh kepada kerajaan negeri berhubung serbuan pihak berkuasa agama itu terhadap majlis makan malam di Gereja Methodist Damansara Utama, Petaling Jaya malam tadi.

Sambil menyatakan kekesalan terhadap insiden itu, beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini menyatakan, kerajaan negeri memandang serius perkara tersebut.

Abdul Khalid berkata, beliau telah menghubungi paderi kanan gereja berkenaan, Pastor Daniel Ho bagi menyatakan pendirian kerajaan negeri mengenai insiden serbuan itu.

‘‘Saya telah memberitahu beliau (Daniel) bahawa kerajaan negeri telah mengarahkan JAIS menyediakan laporan langkap mengenai insiden serbuan ini, sebab-sebab tindakan itu dilakukan pada malam berkenaan.

‘‘Saya berharap dapat berjumpa dengan Pastor Daniel Ho sebaik sahaja laporan lengkap ini diterima,” katanya.

Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri menghormati kebebasan beragama dan hak semua pihak untuk meraikan kebudayaan dan kepercayaan mereka.

Malah, beliau turut mengulangi pendirian bahawa kerajaan negeri sentiasa terbuka kepada perbincangan dan dialog mengenai keharmonian dan toleransi di kalangan rakyat pelbagai agama selain menghargai usaha meningkatkan kefahaman di antara satu sama lain.

BAHAGIAN Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan sepasukan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat pemeriksaan ke atas sebuah gereja di Damansara Utama berdasarkan hasil maklumat yang diterima.

Maklumat tersebut menyatakan terdapatnya kehadiran orang Islam di dalam majlis berbuka puasa yang diadakan di gereja tersebut.

Anggota Penguatkuasaan JAIS bersama anggota polis telah menjalankan pemeriksaan di premis terbabit walaupun dihalang oleh pihak penganjur. Penganjur utama yang dipercayai beragama Islam telah berunding selama hampir satu jam bersama ketua operasi agar pemeriksaan ke atas tempat dan individu tidak dilakukan sehingga majlis tersebut selesai.

Di dalam majlis tersebut juga, kelihatan seseorang sedang mengadakan pengucapan awam, di mana ucapannya ada diselitkan dengan perkataan Quran dan ‘pray’. Setelah majlis hampir tamat, pasukan penguat kuasa dan anggota polis telah membuat pemeriksaan meskipun terdapat cubaan menghalang pemeriksaan dan melupuskan bahan bukti.

Pegawai penguat kuasa JAIS dan polis mendapati ada percubaan di kalangan peserta untuk melarikan diri melalui pintu belakang premis tetapi berjaya dihalang oleh penguat kuasa JAIS.

Terdapat seramai 12 orang yang beragama Islam telah menghadiri majlis tersebut. Tiada serbuan dan tiada tangkapan dibuat. Sebaliknya pemeriksaan dilakukan hanya selepas rundingan dengan pihak penganjur diadakan. Mereka telah diarah untuk menghadirkan diri di Bahagian Penguatkuasaan JAIS untuk siasatan lanjut.

Berpandukan kepada siasatan awal mereka yang terlibat boleh didakwa di bawah Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995. Selain daripada itu terdapat bukti-bukti kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam.

Siasatan lanjut bagi kedua-dua kesalahan ini akan diteruskan.

Berita selanjutnya : Hasan Ali pertahan tindakan JAIS!...tungguuuu...!!!

Juragan Malawati..

Rabu, 3 Ogos 2011

Jalan Tok Guru: Minta Nik Aziz berundur?

"Pandai betul pemimpin Pas Kelantan, dia namakan Jalan Tok Guru supaya Nik Abdul Aziz (Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Nik Mat) letak jawatan. Ini kerana, dia menjadi liabiliti kepada parti Pas dan tidak ada mana-mana pemimpin yang berani menegurnya apabila mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh menjejaskan Pas."

Demikian kenyataan seorang teman dalam nada bersahaja tetapi penuh makna baru-baru ini mengenai tindakan Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menukar nama Jalan Pengkalan Chepa kepada Jalan Tok Guru.

Sebelum ini, sebuah bazar di Jalan Sultan Ibrahim telah dinamakan Bazar Tok Guru dengan alasan memberikan penghargaan kepada tok-tok guru yang ada di negeri ini.

Pun begitu, pembinaan bazar itu oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) diselubungi pelbagai kemelut dikatakan berikutan kegagalan kerajaan Pas negeri tidak menunaikan janji-janji yang dibuat kepada ratusan peniaga di Pasar Lama MPKB menjelang pilihan raya, selain dakwaan penyalahgunaan wang rakyat.

Mengenai Jalan Pengkalan Chepa, pertukaran nama jalan tersebut mungkin tidak disedari oleh banyak pihak kerana tiada hebahan umum dibuat mengenainya.

Tidak dinafikan, kuasa untuk menama atau menukar nama pada mana-mana jalan di bandar Kota Bharu terletak di bawah bidang kuasa MPKB-BRI selaku pihak berkuasa tempatan.

Umum sedia maklum, bahawa amalan meletakkan nama seseorang individu atau tokoh pada jalan, bangunan atau apa sahaja, dibuat sebagai menghormati jasa dan pengorbanannya. Lazimnya, ia dibuat selepas individu atau tokoh terbabit sudah tidak ada atau telah meninggal dunia.

Lantaran itu, tindakan menukar nama Jalan Pengkalan Chepa kepada Jalan Tok Guru tentulah mengundang pelbagai andaian di kalangan banyak pihak. Ini kerana, bagi masyarakat umum atau sesiapa sahaja yang datang ke Kelantan, gelaran Tok Guru tidak merujuk kepada mana-mana tok-tok guru di pondok atau madrasah.

Bagi rakyat Kelantan, Tok Guru adalah Nik Abdul Aziz dan Nik Abdul Aziz adalah Tok Guru. Jika ada pun gelaran itu merujuk kepada tok guru sesebuah pondok, selalunya ia akan disebut bersekali dengan nama individu terbabit.

Walaupun ia mungkin cuba dinafikan oleh pihak MPKB-BRI, namun itulah hakikat yang perlu diterima iaitu Tok Guru di Kelantan merujuk kepada Nik Abdul Aziz.

Justeru, jika persepsi rata-rata rakyat sudah sedemikian, maka apakah niat sebenar pihak MPKB-BRI menjenamakan semula Jalan Pengkalan Chepa kepada Jalan Tok Guru?

Jika menghormati tok-tok guru, kenapa perlu menunggu sehingga lebih 20 tahun baharu MPKB-BRI hendak memberikan penghargaan sedemikian rupa kepada mereka?

Seperti kata Pengerusi Biro Aduan MCA Kota Bharu, Ong Han Sein, kenapa baharu sekarang kerajaan Pas Kelantan hendak memberikan 'pengiktirafan' sedemikian?

"Sebut Tok Guru, mestilah orang merujuk kepada Menteri Besar. Takkanlah dah bagi jalan nama dia, dia masih hidup lagi kerana kebiasaannya kita meletakkan nama seseorang pada jalan atau sesuatu premis selepas dia telah meninggal dunia sebagai tanda mengenang jasanya. Jika bukan Menteri Besar, jalan itu rujuk kepada siapa, kenapa baru sekarang nak buat?" soalnya pandang lebar.

Begitu juga pandangan yang disuarakan oleh Ketua Pemuda UMNO Kota Bharu, Rosmadi Ismail apabila melihat pertukaran nama itu lebih bermotifkan politik bagi mempromosi parti atau individu tertentu dalam Pas.

"Kita mahu tahu kenapa nama jalan ini ditukar dan tok guru mana yang dimaksudkan oleh MPKB-BRI. Kalau hendak ditujukan kepada tok guru pondok, di sepanjang jalan ini tidak ada pondok.

"Sekiranya ia ditujukan kepada Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, namakan terus Jalan Tok Guru Nik Aziz. Tetapi lazimnya untuk mengenangkan nama tokoh ia hanya diberi selepas tokoh itu bersara atau pun meninggal dunia," katanya disini baru-baru ini. Klik di sini.

Mungkin benar apa yang dinyatakan rakan penulis itu, bahawa mesej tersirat di sebalik penjenamaan semula Jalan Pengkalan Chepa kepada Jalan Tok Guru sebenarnya gesaan halus pihak tertentu dalam Pas Kelantan sendiri supaya Nik Abdul Aziz segera berundur dari arena politik di Kelantan, walaupun Menteri Besar itu pernah membayangkan kesediaannya untuk terus bertanding.

Ini kerana, selain faktor usia, Nik Abdul Aziz kebelakangan ini juga dilaporkan kerap tidak dapat menghadiri majlis-majlis rasmi akibat masalah kesihatan.

Juragan Malawati..

Selasa, 2 Ogos 2011

Pusat hiburan: Lambang kelemahan Pas!

Pertambahan mendadak pusat-pusat hiburan di Kedah merupakan satu perkara mengejutkan bagi sebuah negeri yang diperintah oleh kerajaan yang melaungkan slogan untuk melaksanakan pentadbiran Islam seperti Pas.

Pengakuan terbuka oleh Exco Kesihatan negeri itu, Dr. Ismail Salleh bahawa pusat-pusat hiburan tersebut beroperasi secara haram hanya melambangkan kelemahan Pas walaupun sudah tiga tahun berkuasa di Kedah.

Walaupun kerajaan negeri mengatakan pusat hiburan itu tidak berlesen, namun ia bukanlah bermaksud mereka boleh lepas tangan. Ke manakah hilangnya sistem penguatkuasaan Majlis Kerajaan Tempatan di bawah Pas sehingga sesiapa sahaja bebas untuk jalankan aktiviti tidak bermoral secara haram

Apa yang menimbulkan persoalan ialah kegagalan Pas Kedah di bawah pimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak membendung pertumbuhan pusat hiburan sehingga mereka dilihat seperti tidak berbuat apa-apa untuk mengekang kegiatan itu.

Pertambahan mendadak pusat hiburan dan rumah urut di sekitar Alor Setar, Sungai Petani dan beberapa bandar lain di negeri itu adalah sesuatu yang mengejutkan bagi sesebuah kerajaan dengan slogan murni seperti Kedah Sejahtera seperti yang dilaungkan oleh Pas!

Dilihat kegagalan pemimpin negeri itu menangani isu tersebut dengan berkesan juga dapat dilihat apabila Kerajaan Pas Kedah menarik balik larangan ke atas pusat hiburan untuk beroperasi sepanjang Ramadan.

Pendirian mereka tidak teguh. Awalnya mereka melarang tetapi kemudian diketepikan setelah mendapat tekanan DAP yang turut disokong oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR). Mereka (Pas Kedah) mudah mengubah keputusan.

Jadi, bagaimanakah pemimpin Pas mahu memastikan pusat-pusat hiburan (haram) berkenaan tidak dikunjungi oleh umat Islam termasuk pada bulan puasa? Rakyat Kedah juga tertanya-tanya adakah Kerajaan Pas Kedah takut dengan tekanan DAP dan juga ugutan para pengusaha pusat hiburan yang berselindung di belakang DAP.

Juragan Malawati..