UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Jumaat, 23 Disember 2011

Al-Fatihah...Tan Sri Abdul Hamid Othman meninggal dunia diserang angin ahmar!



Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Abdul Hamid Othman meninggal dunia hari ini dipercayai akibat serangan angin ahmar. Beliau berusia 72 tahun.

Beliau yang bertugas sebagai Penasihat Maju Holdings Sdn. Bhd. meninggal dunia kira-kira pukul 4.45 petang ketika sedang menjalankan urusan kerja di pejabatnya di Maju Junction di sini.

Pegawai peribadinya, Nor Azhar Yusof berkata, sebelum serangan itu, beliau kelihatan sihat dan berwatakan seperti biasa namun tiba-tiba mengalami kesukaran bernafas.

“Kakitangan pejabat memanggil saya apabila melihat Allahyarham mengalami sesak nafas dan kami semua cuba memberi bantuan kecemasan termasuk bantuan pernafasan namun lima minit kemudian Tan Sri telah tiada.

“Allahyarham mempunyai sejarah penyakit lain iaitu sakit jantung dan diabetis,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, jenazah Abdul Hamid dibawa pulang ke kediamannya di Taman Tenaga, Batu 9, Jalan Puchong.

Penasihat Agung Pusat Kebajikan Wanita dan Keluarga (Kewaja) itu meninggalkan seorang isteri, Puan Seri Jamilah Mohd. Said, 68; seorang anak, Wafi Nazrin dan serta lima cucu.

Allahyarham dilahirkan pada 21 Julai 1939 di Kampung Kemelong, Mukim Sik, Kedah, pernah mengetuai Pusat Islam Malaysia di Jabatan Perdana Menteri sebagai Ketua Pengarah, Bahagian Hal Ehwal Islam.

Abdul Hamid memegang jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari 1995 sehingga 1999. Sebelum itu pada tahun 1990 beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Pada 2001, Abdul Hamid dilantik sebagai Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kemudian Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dari 2005 hingga 2009.

Semasa hayatnya, Allahyarham merupakan penerima pertama biasiswa kerajaan Malaysia menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir, bersama empat orang lagi pelajar lain dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Perundangan Islam pada 1961.

Al-Fatihah..

Juragan Malawati

1 ulasan:

  1. Takziah pada keluarga Allahyarham, semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman. Amin.

    BalasPadam