UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Selasa, 24 November 2009

Akhirnya ArifFahmi Akur Untuk Meletak Jawatan!
















Menantu Datuk Nik Aziz Nik Mat, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman, semalam, meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) berikutan pelbagai tekanan berhubung dakwaan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa sejak dilantik ke jawatan itu, September lalu.

Beliau akur dengan arahan bapa mentuanya yang juga Menteri Besar Kelantan dan Pengerusi PMBK supaya berundur bagi membersihkan namanya, selain mempertahankan kepemimpinan Pas Kelantan. Nik Aziz berkata, beliau mengeluarkan arahan itu selepas dinasihatkan pemimpin kanan Pas Pusat diketuai Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam pertemuan di kediaman rasmi Menteri Besar, JKR10 disini, semalam.

Turut hadir dalam pertemuan selama sejam itu ialah Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din; Naib Presiden, Salahuddin Ayub dan Bendahari, Dr Hatta Ramli."Mereka menasihatkan saya supaya meminta menantu (Abdul Ariffahmi) mengundur diri dari PMBK demi menjaga nama baik kepemimpinan Islam dan mengelak fitnah."Saya dengan senang hati menerima pandangan itu. Beliau (Abdul Ariffahmi) akan meletak jawatan, cuma tarikh letak jawatan terserah kepadanya," kata Mursyidul Am Pas itu pada sidang media selepas pertemuan berkenaan yang turut disertai Abdul Ariffahmi, semalam.

Isu menantu Nik Abdul Aziz timbul selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu PMBK dua kali untuk menyiasat dakwaan surat layang berhubung tuduhan kronisme, salah guna kuasa dan mempersoalkan pelantikan anggota keluarga terdekat menerajui syarikat milik kerajaan yang mempunyai peranan begitu besar. SPRM turut mengambil keterangan Abdul Ariffahmi di pejabatnya di PMBK pada 9 November lalu.

Kemelut dalam PMBK berpanjangan apabila Abdul Ariffahmi memecat Pegawai Perhubungan Korporat PMBK, Syed Azidi Syed Abdul Aziz juga dikenali sebagai blogger Kickdefella, yang mendakwa mempunyai maklumat mengenai penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dalam perbadanan itu.

Kemelut PMBK bertambah apabila seorang ahli perniagaan yang dilaporkan menerima kontrak dengan perbadanan itu, dikaitkan dengan tajaan pakej mengerjakan haji VVIP bernilai RM65,000 seorang kepada Nik Aziz bersama isteri serta anak dan menantunya itu."Dulu masa saya lantik beliau (Abdul Ariffahmi), yang berhormat LA (penasihat undang-undang) pun ada tetapi beliau tidak komen apa-apa.

Semua yang berada dalam mesyuarat itu (ketika mengumumkan pelantikan) senyap, maka saya lantik."Namun, selepas itu timbul pelbagai fitnah daripada blogger dan banyak surat layang yang saya terima dan berdepan fitnah yang boleh mencacatkan nama baik kepemimpinan Islam," katanya. Beliau berkata, langkah mengarahkan menantunya meletak jawatan tiada kaitan dengan siasatan SPRM sebaliknya bagi mengelak fitnah menerusi surat layang dan internet terus berleluasa.

Sementara itu, Abdul Ariffahmi berkata, beliau menerima arahan meletak jawatan itu dengan hati terbuka, kerana keputusan itu diambil demi menjaga nama baik kepemimpinan Nik Aziz dan Kerajaan Pas Kelantan."Saya hanya terima arahan meletak jawatan hari ini (semalam). Saya sentiasa patuh kepada pucuk pimpinan terutama apabila gesaan ini keluar dari mulut tok guru (Nik Aziz) sendiri, kerana saya sentiasa patuh kepadanya."Saya merakamkan penghargaan kerana diberi peluang selama lapan tahun berada di PMBK sehingga menjadi CEO selepas Aidilfitri lalu.

"Dalam semua perkara, saya merujuk kepada beliau (Nik Aziz) termasuk sebelum ini meminta saya tidak melepaskan jawatan (walaupun berdepan pelbagai fitnah)," katanya. Beliau berkata, walaupun sedia meletak jawatan, namun beliau yakin tidak bersalah sebaliknya menjadi mangsa fitnah menerusi laman blog. Katanya, beliau kini sedang meneliti nasihat beberapa peguam yang dilantik sebelum menentukan tindakan terhadap laman blog yang melemparkan fitnah terhadapnya selama ini.

JM...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan