UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Khamis, 4 November 2010

Terkini dari Galas : Ketua Puteri UMNO Kuala Krai diserang ketika rayu undi!


Ketua Puteri UMNO Kuala Krai, Suzaini Adlina Mohd. Shukri, cedera diserang seorang wanita dipercayai anggota parti lawan ketika sedang merayu undi di Sekolah Kebangsaan Cina Gua Musang di sini dalam pilihan raya kecil Galas hari ini.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, Suzaini Adlina, 37, diserang dari arah belakang oleh wanita itu yang menggunakan tiang bendera menyebabkan beliau cedera di dahi dan hidung.

"Ketika itu peraih undi parti lawan berada di sebelah kanan dan saya berada di sebelah kiri, dan apabila datang seorang pengundi, saya turut bersama dengan anggota wanita parti lawan mengiringi pengundi tersebut ke pusat pengundian.

"Secara tiba-tiba saya diserang daripada belakang dari arah belakang. Dia mengetuk saya dua kali dan apabila saya berpaling ke arah penyerang itu, sekali lagi saya diserang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Gua Musang.

Juragan Malawati..

Isnin, 1 November 2010

Pas bukan parti alternatif Islam!


Hari demi hari orang Melayu disajikan dengan pelbagai tingkah laku memalukan dan fatwa yang mengelirukan oleh parti Pas, hal ini bukan sahaja berlaku setiap kali menjelang sesuatu pilihan raya bahkan berlaku sepanjang tahun.

Daripada perbuatan khianat, berbohong, sanggup menjadi pecacai DAP untuk menindas orang Melayu sehinggalah insiden mengkafirkan orang Islam lain hatta sanggup membiarkan rakan politik bukan Islam mereka mengkafirkan orang Islam yang berbeza pandangan politik! Lihat sahaja 'tingkah laku islamik' yang dibawa oleh Pas sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Galas.

Itupun nasib baik PKR, sibuk berkempen di Batu Sapi, jika tidak, aksi kolaborasi Pas dan PKR setiap kali melakukan jimak politik akan menyaksikan kebangkitan yang akan memberahikan penyokong-penyokong mereka yang mampu mencetuskan politik ala rimba!

Ada sesuatu yang tidak kena dengan Pas, jiwanya sakit, hatinya penuh dengan dendam malahan nafsu Qarunnya semakin membuak-buak. Malangnya sebagai sebuah parti yang mengakui berlandaskan Islam, Pas mengubati jiwa, hati dan nafsunya dengan berpeleseran bersama rakan-rakan politik syaitannya yang suatu ketika dahulu hendak direjam oleh Pas sendiri menyebabkan sehingga kini Pas kabur akan identitinya.

Kalaulah Pas masih di bawah jagaan Almarhum Ustaz Datuk Fadzil Noor, Pas masih lagi sebuah parti Islam dan bukannya bertukar menjadi sebuah parti kebajikan sehingga para pemimpinnya sanggup menjadi boneka kepada sebuah parti yang terang-terang anti-Islam.

Almarhum Ustaz Fadzil pasti tidak rela menyaksikan bagaimana pemimpin sebuah parti Islam menjadi pak turut dalam suatu agenda memusnahkan bangsa dan agamanya sendiri hanya kerana dendam dan gilakan kuasa!

Kalaulah Pas mendalami apa yang telah digariskan oleh para fuqaha Islam berkaitan sistem politik dan pemerintahan Islam, tidak mungkin Pas akan menderhaka kepada ketua agama Islam dengan membiarkan penyokong-penyokongnya menimbulkan huru-hara sehingga mengaibkan ketua agama Islam demi mengembirakan hati rakan-rakan politik kafirnya!

Kalaulah Pas berpegang teguh kepada ajaran Islam yang sebenar, mana mungkin ada pemimpin bukan Islam sebuah parti politik yang cukup tebal semangat anti-Islamnya berani mempergunakan ayat-ayat suci al-Quran untuk memburuk-burukkan saudara seislam yang lain yang berbeza pandangan politik!

Pasti terkencing pemimpin-pemimpin bukan Islam itu diherdik dan disergah oleh ulama-ulama besar Pas kerana sewenang-wenangnya memperkotak-katikkan ayat-ayat suci demi kepentingan politik.

Kalaulah Pas mendalami pengertian bahawa seorang khalifah hanya menjadi khalifah yang sah selama mana dia benar-benar mengikuti hukum-hukum Allah, tidak mungkin Pas akan sanggup menobatkan seorang kafir anti-Islam sebagai khalifah setaraf Khulafa al-Rasyidin!

Sanggup Pas menyamatarafkan Khulafa al-Rasyidin dengan seorang khalifah kafir yang 'memerangi' dan menganiaya umat Islam bahkan sanggup menyuap dan menutup mulut orang Islam dengan hasil sumber judi!

Kalaulah Pas masih perjuangannya berlandaskan Islam, mungkin runtuh bangunan ibu pejabat Majlis Peguam Malaysia diserbu pejuang-pejuang Pas kerana kedegilan majlis itu untuk terus menganjurkan Forum Memeluk Islam 2008.

Sebaliknya Pas membisu membiarkan Majlis Peguam terus-terusan mempertikaikan hal ehwal berkaitan agama Islam sehingga menyebabkan perasaan masyarakat Islam negara ini amat tersinggung!Kalaulah Pas ada sedikit lagi perjuangan Islamnya, tidak akan ada ahli politik anti-Islam nombor wahid yang berani mencemarkan ruang solat umat Islam.

Akan turun berduyun-duyun kader-kader Pas berdemonstrasi mengutuk tindakan ahli politik tersebut memperlekehkan institusi masjid dengan nilai bantuan RM1,000 sahaja!Kalaulah Pas masih kental jiwa Islamnya pasti bergegar bumi Tanah Melayu ini dek gara-gara tuntutan hak menggunakan nama Allah oleh penganut agama Kristian.

Laungan Allahuakhbar pasti bergema di seluruh pelosok negara membantah ahli-ahli politik Islam yang bersubahat; 'melacurkan' nama Allah demi untuk meraih sokongan politik!Kalaulah Pas masih sayangkan Islam, kewujudan negara Islam adalah keutamaannya.

Walaupun digertak oleh DAP, Pas tidak akan gentar melafazkan negara Islam adalah matlamatnya sebagaimana beraninya Tun Mahathir mengisytiharkan kepada dunia bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam! Tetapi kalaulah Pas masih mempunyai roh Islam, mahukah DAP menjadikan Pas kuda kayu tunggangannya?

Sayang sekali Pas kini tidak seperti dahulu lagi, ia kini dalam genggaman DAP! Pas tidak lagi berani memperjuangkan Islam malah langsung tidak berani mengaku keislamannya di hadapan DAP. Malahan kadang- kadang apabila Pas terlupa menyembunyikan keislamannya, DAP dengan pantas menyentap 'kerandutnya', Pas akan serta-merta menikus kembali!

Hakikatnya Pas kini bukanlah parti alternatif kepada orang Melayu sebaliknya adalah sebuah parti yang kebingungan.

PAS sememangnya hamPASS!!!

Juragan Malawati..

Khamis, 28 Oktober 2010

DAP takut sejarah Malaysia : Bantahan DAP agenda cuba 'membutakan' rakyat!

Tindakan DAP membantah keputusan Kementerian Pelajaran menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013 mungkin merupakan agenda parti itu untuk 'membutakan' rakyat mengenai asal-usul penubuhan negara ini.

Ketua Penerangan UMNO Selangor, Abdul Shukor Idrus berkata, sebenarnya tiada sebab DAP mahu mempertikaikan keputusan tersebut kerana ia bertujuan melahirkan generasi yang tahu asal-usul serta perkembangan negaranya sendiri. Menurutnya, keputusan itu mempunyai rasional kerana penghayatan terhadap sejarah mampu meningkatkan jati diri serta semangat patriotisme di kalangan generasi muda.

''Tidak timbul isu UMNO menentukan segala-galanya kerana pengumuman itu adalah bersifat nasional. Yang menjadi persoalannya kenapa DAP begitu bersungguh-sungguh menentang keputusan ini.

''Apakah DAP mahu 'membutakan' rakyat khususnya generasi muda daripada memahami serta menghayati sejarah negara melalui penekanan mata pelajaran Sejarah," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Rasah daripada DAP, Loke Siew Fook pada satu sidang akhbar di bangunan Parlimen semalam yang mempersoalkan keputusan itu yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

Menurut Siew Fook yang juga Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), pengumuman Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran sepatutnya dibawa ke Kabinet, bukannya menerusi perhimpunan parti itu.

Malah, Siew Fook turut melemparkan tuduhan bersifat melaga-lagakan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) apabila menyatakan kononnya UMNO sahaja yang menentukan dasar kerajaan kerana keputusan Muhyiddin itu dibuat tanpa melibatkan MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain.

Abdul Shukor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang berkata, kenyataan Siew Fook itu mungkin kerana DAP tidak mahu mata pelajaran Sejarah dijadikan subjek wajib lulus.

Ini kerana jelasnya, sejarah negara hakikatnya melibatkan penglibatan serta peranan UMNO dan pemimpin daripada parti komponen BN dalam membentuk Persekutuan Tanah Melayu sebelum mencapai kemerdekaan sehingga ke hari ini.

Jelas beliau, sepatutnya DAP tidak perlu berfikiran negatif atau menjadikan keputusan itu sebagai isu politik kerana ia bertujuan memupuk perpaduan nasional di kalangan generasi muda.

" DAP tidak boleh memadamkan sejarah, tamadun serta peranan pemimpin terdahulu yang menjadi asas pembentukan negara ini. Generasi muda berhak dan harus mengetahui, memahami serta menghayati sejarah melalui penekanan pembelajaran di sekolah," ujarnya.-UM

Juragan Malawati..

Rabu, 27 Oktober 2010

APABILA DAP BERJAYA MEM"bapuk"KAN PEMIMPIN PAS!

Pas adalah pejuang Islam yang paling bacul. Demi mengejar kuasa Pas merelakan apa sahaja walaupun secara terang Islam telah diperlekehkan oleh rakan sepolitiknya. Banyak peristiwa yang membuktikan betapa Pas hanya menjadikan agama sebagai alat memuaskan nafsu gila kuasa m...ereka.

1) Karpal Singh pernah menyinggung perasaan seluruh umat Islam dengan kenyataannya berbunyi “Langkah mayat saya dulu, baru pemerintahan Islam boleh dilaksanakan di Malaysia”.

2) Kenyataan DAP yang membayangkan sikap negatif terhadap Islam. Contoh, Lim Kit Siang dengan lantangnya berkata “Penubuhan negara Islam tidak sesuai bagi masyarakat majmuk di Malaysia….kemajuan rakyat lebih utama”.

3) Chen Man Hin berani membuat kenyataan “DAP tidak berganjak dengan pendirian untuk memastikan negara ini sebagai negara sekular”.

4) DAP mula mempertikaikan usaha Pas mahu menubuhkan negara Islam dengan mendakwa Pas perlu menang 128 kerusi Parlimen sedangkan parti itu hanya diperuntukkan 60 kerusi Parlimen oleh pakatan pembangkang.

5) Laungan takbir sebilangan besar penyokong Pas menyambut kedatangan Karpal Singh di Perak.

6) Tindakan melampau seorang penceramah Cina berketurunan Siam mengkafirkan pemimpin kerajaan yang juga seorang yang beragama Islam sedangkan orang Islam sendiri tidak mempunyai hak untuk mengkafirkan orang Islam yang lain.

7) Mempertahankan tindakan ahli politik kafir mencemarkan masjid. Ahli politik kafir itu telah menggunakan tempat suci orang Islam beribadat untuk memaki hamun dan mencerca pemimpin Islam.

8) DAP lantang menentang untuk memasukkan slogan penubuhan negara Islam dalam manifesto pakatan pembangkang dalam pilihan raya akan datang sedangkan jika diukur dari segi kemampuan memenangi kerusi pilihan raya Pas lebih berhak menentukan agenda dalam manifesto gabungan pembangkang. Ini adalah satu penghinaan paling terhormat dilakukan oleh DAP bagi menunjukkan sikap anti Islam mereka.

Kenyataan dan perbuatan yang dilakukan oleh DAP jelas menggambarkan pandangan serong parti itu terhadap Islam. Ini adalah satu tamparan yang hebat kepada Islam keseluruhannya.

Namun Pas lebih selesa untuk terus tidur berbantalkan lengan DAP. Pas semakin gagal menyemai nilai Islam dalam hati nurani rakan pembangkang yang sekaligus menunjukkan betapa Pas tidak akan mampu memupuk benih kemurnian dan semangat ukhwah sesama umat Islam.

Kepada Pas, teruskanlah sandiwara ini kerana ternyata mereka adalah pejuang Islam bacul tersohor di penghujung abad ini.

Juragan Malawati..

Selasa, 26 Oktober 2010

AIR SELANGOR : PEMBOHONGAN PAKATAN SELANGOR DIBONGKAR!

( BACA DAN EDAR ) Memahami kronologi isu air ini akhirnya akan mendedahkan kelemahan corak pentadbiran kerajaan negeri selangor mengawal dan mentadbir urus isu air..semuanya mahu dipolitikkan..!!!

Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo, hari ini, menyifatkan Kerajaan Pakatan di Selangor tidak ubah seperti beruk mendapat bunga apabila berkuasa sejak tiga tahun lalu.

Menurut Mohamad Khir, tindakan kerajaan negeri Selangor enggan membenarkan loji rawatan air di Hulu Selangor dibina oleh kerajaan Persekutuan seperti mana dalam pelan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang ke Selangor sebagai keterlaluan dan boleh menyebabkan kos meningkat berkali ganda kepada kerajaan Persekutuan.

Menurut bekas Menteri Besar Selangor itu, kerajaan Selangor tidak menguruskan isu air dengan betul apabila mengaitkan isu penstrukturan semula air dan kenaikan tarif air dengan pembinaan loji rawatan air di Hulu Langat.

Dalam tulisan terbaru beliau berjudul “Sokong Penstrukturan Semula Air Selangor” di dalam blognya mengkritik kerajaan negeri Selangor, ” Bagaimana kerajaan negeri ingin bermain logik mengugut kerajaan Persekutuan sedangkan mereka “bergaduh” dengan sebuah syarikat berstatus berhad yang mereka sendiri ada 30% saham?

Bolehkah kita yang rasional menerima sikap kerajaan negeri yang menangguhkan kelulusan pembinaan loji kerana mereka gagal mengambil alih sebuah syarikat? Wajarkah projek yang bernilai berbilion ringgit ini dijadikan taruhan dan menyebabkan kerajaan Persekutuan perlu berbelanja lebih, yang tentunya membabitkan wang rakyat?

“ Alasan kenaikan tarif air ini hanyalah sandiwara kerajaan negeri kerana syarat-syarat sedia ada sudah cukup menjaga kepentingan pengguna. Seperti yang saya jelaskan tadi, tarif air tidak boleh dinaikkan tanpa persetujuan panel penilai yang dianggotai oleh kerajaan negeri, persekutuan dan wakil Syabas. ”

Adakah krisis air di lembah Klang akan berulang kembali!!!

Juragan Malawati..

Ahad, 24 Oktober 2010

UMNO dahulukan rakyat!

Bismillahirrahmanirahim
Sidang perwakilan, sidang pemerhati, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian, Syukur Alhamdulillah kita panjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT yang telah memberi taufik dan inayahnya kepada kita semua sehingga Perhimpunan Agung kali ke-61 ini dapat dirangkum dan disempurnakan dengan selamat sampai kepada penghujungnya.

Seperti mana yang saya sebut dalam ucapan dasar saya bahawa Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka ini dilangsungkan sebanyak 25 kali. Pada kali ini perhimpunan ini mencatat beberapa perkembangan yang amat signifikan lagi bersejarah.

Yang pertama ialah buat kali pertama dalam sejarah UMNO solat Jumaat telah diadakan di dalam bangunan UMNO sendiri. Moga-moga petanda ini akan membawa keberkatan yang berkekalan. Insya-Allah.

Dan saya ucap terima kasih kepada semua pihak yang telah berusaha memberi kebenaran untuk solat Jumaat diadakan di dalam bangunan UMNO yang keramat lagi bersejarah ini.

Yang kedua ialah buat kali pertama sebelum perhimpunan ini diadakan satu forum antarabangsa yang bertajuk ‘Pembentukan Masyarakat Global: Liberalisasi Media dan Realiti Politik Baru’ yang melibatkan 400 peserta dari dalam dan luar negara. Sekaligus kita telah dapat mengetengahkan UMNO, usaha-usaha murni UMNO memimpin negara kita, memaju negara kita dan membawa perubahan yang besar kepada negara kita. Biar dunia lihat bahawa kejayaan ini kerana kemajuan UMNO selama ini.

Saudara saudari sekalian,

Pada awal ucapan, saya nak menyelesaikan urusan yang biasa saya buat pada penghujung ucapan saya. Saya ucap terima kasih pada Datuk Pengerusi Tetap Persidangan UMNO yang telah mempengerusikan persidangan ini dengan gayanya tersendiri dan amat menarik.

Dan saya nak mengesahkan, saya turun bawah tadi jumpa dengan reporter akhbar Cina, saya tanya, “Betul ke Pengerusi Tetap kita cakap bahasa Hokkien?”’ Dia kata betul. Walaupun bahasa Hokkien pasar tapi betul. Tahniah juga kepada Timbalan Pengerusi Tetap yang cekap membantunya.

Saya juga ucap terima kasih kepada urus setia ibu pejabat, Setiausaha Agung (Datuk Tengku Adnan Mansor). Terima kasih kepada Setiausaha Kerja yang sihat walafiat, tak berhenti bekerja. Dan kepada semua kakitangan ibu pejabat, semua pihak, media, segala-galanya yang telah membantu persidangan kita berjalan dengan baik.

Saudara saudari sekalian,

Saya berasa begitu terharu bahawa ucapan Presiden saya pada kali ini mendapat sambutan yang sangat hangat di kalangan para perwakilan.

Saya ucap terima kasih kepada Timbalan Presiden yang telah menyatakan bahawa ucapan itu ucapan yang tegas dan berani.

Ada dua reaksi yang agak menarik perhatian saya. Yang pertama bila saya sedang ambil gambar dengan Exco Wanita, ramai wanita yang kata, ‘‘Datuk, kami wanita puas dengar ucapan.’’ Dia punya puas panjang sikit. Puas....Ini isteri saya tak marah. Bab ini dia tak marah. Bab lain jangan cuba.

Yang kedua bila saya balik rumah, ada seorang teman lama dari Pahang tunggu tercegat di luar pagar rumah saya. Jadi saya gamit dia bila saya masuk. Saya kaji apa hajatnya. Tak ada. Dia kata selama ini dia bimbang masa depan anak cucu dia. Tapi bila dengar ucapan saya dia kata dia yakin masa depan anak cucu dia terbela.

Dan itulah sebenarnya hakikatnya bahawa peruntukan-peruntukan yang menyangkut tentang kepentingan orang Melayu, bumiputera, yang melibatkan soal keistimewaan orang Melayu sudah pun terpateri kemas, telah terkunci, tersimpul mati dalam Perlembagaan negara kita. Yang tak boleh dipinda melainkan dengan persetujuan Raja-Raja Melayu dan saya tak nampak Raja-Raja Melayu akan pinda peruntukan Perlembagaan ini.

Namun ada juga pihak, inilah kata kumpulan yang sebelah sana, dia pakar pusing. Dia pusing bab itu, dia pusing. Orang putih kata spinning. Dia very good at spinning. Dia kata kalau sudah terkunci, tersimpul mati, jadi tak perlulah UMNO berkuasa sebab orang Melayu kalau ada kuasa pun orang lain boleh pertahankan sebab sudah ada peruntukan dalam Perlembagaan.

Ini adalah satu pandangan yang tidak benar sama sekali. Ini kerana walhal peruntukan itu sudah terkunci kemas tapi kuasa politik perlu di dalam tangan UMNO untuk menterjemahkan prinsip semangat peruntukan Perlembagaan. Sebab itulah dalam ucapan saya, bab kedua ketiga penghujungnya sekali saya tutup ucapan saya dengan mengatakan dalam apa juga keadaan, mesti kita pertahankan apa mesej itu.

Jangan sampai dia benak. Dia benak ataupun orang Negeri Sembilan kata bangang. Saya tanya isteri saya, bangang itu apa. Bangang itu paling teruk sekalilah ataupun dia faham sengaja tak nak buat faham. Inilah masalah kita berdepan dengan pembangkang yang selalu memutar sesuatu kenyataan untuk mengelirukan rakyat jelata. Kita beritahu bahawa UMNO akan menyelamatkan masa depan Melayu dan negara kita yang tercinta. Tak ada orang lain boleh, nak kata dia boleh? Dulu sibuk dengan reformasi, sekarang ini sibuk baling kerusi. Saya tak sebut, dia tau, dia faham.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Dalam perhimpunan ini, soal Perlembagaan tak usah bangkit pada sesiapa lagi, habis tutup cerita, kita mara ke depan. Orang putih kata let’s move on. Dalam perhimpunan ini saya lihat memang hasrat kita, hasrat saudara-saudara sekalian bahawa soal agenda Melayu, kedudukan bumiputera akan terus diperjuangkan oleh pimpinan UMNO dan kerajaan.

Saya nak beritahu bahawa hal ini memang akan terus diperjuangkan oleh kita. Malah dalam persidangan MCA baru-baru ini, bila saya rasmikan, sebelah saya semua pimpinan MCA. Apa saya kata? Saya kata sekiranya majoriti dalam sebuah negara itu memiliki sebahagian kecil daripada kekayaan, itu tidak adil dan tidak menyumbang kepada kestabilan politik tanah air kita.

Saya kata depan Presiden MCA, depan pimpinan MCA saya terangkan dengan jelas. Dalam UMNO, MCA dan MIC, dalam apa jua keadaan, kita mesti menegakkan keadilan sosial di dalam negara kita. Terima kasih perwakilan mengingatkan siapa pencetus Dasar Ekonomi Baru. Takkan saya, anakandanya, darah yang mengalir dalam badan saya, tidak akan meneruskan semangat dan prinsip perjuangan itu.

Dalam majlis ini, saya nak bagi tahu, bahawa hasrat saudara-saudara sekalian supaya kita tubuhkan apa yang dikatakan Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera atau pun MTAB. Saya nak beritahu bahawa pada hakikat sebenarnya, Majlis Tertinggi mengangkat agenda bumiputera sudah pun diwujudkan oleh kerajaan. Malah mesyuarat pertama telah diadakan sebulan yang lalu. Saya jadi Pengerusi, Timbalan Perdana Menteri jadi Timbalan Pengerusi, menteri-menteri yang berkenaan menganggotai termasuk tiga-tiga Naib Presiden, hak Jawa, hak Turki, hak lanun, semua ada. Ketiga-tiga ini sekarang saya tak panggil nama dia. Saya panggil dia Jawa, Turki, lanun, biar lekat triple ini, semua ada.

Kami akan pastikan agenda bumiputera terus diperjuangkan. Malah ada satu perkembangan yang saya nak terangkan. Ini juga kaitan dengan program kita untuk menambah lagi penyertaan bumiputera yakni Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJJB) yang sekretariat dia bawah Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

Saya nak beritahu bahawa pada tahun sudah dan tahun 2010, empat buah syarikat bumiputera yang market capitalisation berjumlah RM411 juta sudah pun disenaraikan di Bursa Saham. Syarikat-syarikat ini kami tak kenal siapa dia. Syarikat-syarikat ini diproses berdasarkan kepada kebolehannya untuk disenaraikan.

Tetapi untuk disenaraikan dia mesti ada rekod baik lima tahun keuntungan dan Suruhanjaya Sekuriti nak tengok dari segi keuntungan akan datang. Jadi, apa yang diperlukan oleh syarikat-syarikat bumiputera ini bantuan sedikit oleh kerajaan, dalam bahasa Inggeris disebutkan The Last Mile, ini penghujungnya. Jadi, kita bantu, bila kerajaan bantu penghujungnya syarikat-syarikat ini boleh disenaraikan di Bursa Saham dan tahun sudah RM411 juta.

Tahun akan datang insya-Allah 11 buah syarikat bumiputera dijangka disenaraikan dengan pasarannya hampir RM2 bilion. Memang seperti mana perwakilan kata, kita tak marah orang lain dapat keuntungan, kita tak marah orang lain kaya malah yang kaya itu pun kerana UMNO juga mereka kaya. Betul tak? Siapa bagi lesen beras? Siapa bagi lesen gula? Siapa bagi lesen IPP (projek loji tenaga bebas)? Siapa bagi lesen satelit? Tidakkah UMNO yang bagi. Kalau kita nak tolong bumiputera, jangan pula mereka marah kita nak tolong bumiputera, ini baru adil. Hak orang lain dapat dia senyap, hak kita nak bagi dia komplen, tak bolehlah macam itu, adilkah semua ini?

Ini yang kita hendak, itu satu 1Malaysia. Terima kasih semua kerana sudah terima 1Malaysia sekarang ini sampai ada seorang perwakilan pakai 1Malaysia dekat songkok dia, ada keluar dalam gambar, ini jelas.

Saudara-saudari sekalian,

Kita pun ada program lain macam Ekuinas. Kita sudah labur dalam tiga syarikat bumiputera dengan nilai sebanyak RM350 juta. Malah dalam

Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan RMK-11, kerajaan memperuntukkan RM5 bilion untuk Ekuinas. Kalau ada syarikat bumiputera yang berpotensi jadi lebih besar, sampai ke peringkat persada antarabangsa, kita akan bantu Melayu Ekuinas. Ini supaya syarikat bumiputera bukanlah syarikat yang kecil, kerdil tapi syarikat besar bertaraf dunia global. Ini hasrat kita supaya Melayu berjaya, bumiputera berjaya di persada antarabangsa.

Kita tidak lupa. Bukan sahaja orang usahawan, bukan sahaja golongan korporat tetapi perjuangan kita bak kata pemimpin-pemimpin tadi berbentuk inklusif, keterangkuman. Jadi, hak yang bawah pun kita mesti jaga sebab itulah kita perkenalkan gaji minimum. Siapa untung? Yang pertama posmen dah untung. Posmen dahulu hampir dekat paras kemiskinan. Sekarang ini dapat RM1,300, RM1,400 sebulan. Perjuangan siapa? Perjuangan UMNO. Bukan orang lain, UMNO.

Siapa lagi? Imam masjid pun terkejut, tersentak, tidak terfikir-fikir boleh dapat RM750. Sebab itu ada imam yang dah letak jawatan hendak ambil semula itu. Datuk Seri Jamil Khir Baharom kata ada, ada dia hendak minta balik jadi imam.

Siapa lagi? Guru-guru KAFA dapat, ketua kampung pun dapat, siapa ketua kampung? Separuh daripada ketua cawangan. Ketua Bahagian kena jaga ketua cawangan betul tak? Kalau tidak dia tidak sokong undi.

Mulai tahun depan siapa lagi, pengawal-pengawal keselamatan yang kebanyakannya bekas tentera, ini Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dapat gaji RM700 insya-Allah dapat RM1,000 ke atas. Ini perjuangan UMNO. Ini kena beritahu, jangan sebab nak bagi air 20 milimeter padu percuma, besarnya punya cerita. Macam wakil Pulau Pinang sebut nak bagi RM50 guru KAFA pun macam nak tenggelam Pulau Pinang punya ceritalah. Tapi kita mesti tahu, mesti beritahu, mesti uar-uarkan bahawa segala-galanya adalah kerana hasil perjuangan UMNOlah memungkinkan perkara ini jadi kenyataan, bukan orang lain.

Wakil Pemuda cadangkan supaya golongan muda yang baru keluar, baru nak kahwin, tak sabar nak kahwin tapi nak rumah (tetapi) tidak mampu, kerajaan telah isytiharkan bahawa kalau beli rumah bawah RM220,000 ke bawah tak payah bayar wang pendahuluan, dapat pinjaman 100 peratus.

Wakil Pemuda cadangkan supaya hak RM3,000 itu jangan kira pendapatan sekeluarga, tapi kalau seorang RM3,000 ke bawah pun tak apa. Boleh saya nak kata, saya setuju dengan syor Pemuda.

Inilah yang kita kata inklusif. Jangan jaga orang di atas sahaja, jaga di bawah, jangan main di atas sahaja, hak belakang pun jangan (Pengerusi Tetap mencelah), jangan itu, tak boleh lalu, tak boleh. Inilah yang kata UMNO ini keindahan. Cuma kita ini UMNO tidak pandai nak bawa cerita. Itu saja, tak pandai nak jual cerita, kurang sikit mahir, sebab apa? Kita ini mesti uar-uarkan di kampung, di bandar, di semua tempat, beritahu ini semua perjuangan UMNO. Bukan orang lain.

Saudara saudari sekalian,

Ramai yang sebut tentang transformasi UMNO. Jadi, saya nak sebut di sini bahawa model transformasi UMNO apa temanya. Saya fikir waktu persidangan ini, jurucakap, pensyarah semua saya menghayati hujah-hujah mereka. Saya tilik-tilik dan saya rasakan bahawa tema yang sesuai model transformasi UMNO ialah ‘UMNO Dahulukan Rakyat’. Ini dia. Jadi sebenarnya, proses transformasi ini dah mula. Dia mula seperti yang Datuk Hishammuddin (Hussein) kata tadi dari waktu kita meminda Perlembagaan pada tahun sudah. Kita tidak tahu sangat signifikannya. Tapi dalam sejarah UMNO, ada tiga peristiwa yang sangat besar ertinya iaitu penubuhan UMNO, UMNO diharamkan dan pindaan Perlembagaan UMNO pada tahun sudah. Ini tiga. Sebab apa? (Kerana) ia menukar sama sekali asas pemilihan, proses menentukan pemilihan UMNO yang lebih demokratik dan lebih inklusif termasuk jawatan Presiden UMNO pun. Nasib Presiden UMNO di tangan 140,000 perwakilan tidak boleh bersandar lagi kepada kuota. Dulu ada kuota. Ada 58 bahagian mencalonkan baru layak lawan Presiden. Tuan-tuan ingat senang dapat 58 bahagian. Berani 58 bahagian calon orang lain lawan Presiden? Tak ada, tak jadi. Saya betul-betul menyerah nasib saya, Tan Sri Muhyiddin (Yassin), naib-naib Presiden pada saudara-saudara sekalian.

Untuk menentukan ini, kita kembalikan kepercayaan kepada ahli supaya ahli akan menentukan dia boleh buat kerja atau tidak boleh buat kerja. Kalau tidak boleh buat kerja, dia akan hantar signal. Kami tidak mahu terus berkuasa tanpa dilihat, dinilai sebagai pemimpin yang boleh berjasa dan berbakti kepada agama, bangsa dan tanah air.

Saya nak sebut sekali lagi, empat tonggak utama kemenangan kita. Satu, kepimpinan Barisan Nasional dengan dasarnya dan hala tujunya mesti diterima rakyat. Kedua, kepimpinan di peringkat negeri pun penting juga. Ketiga ialah parti sama ada parti kita dalam keadaan disenangi, diterima oleh rakyat. Keempat ialah calon, saya kata minta ‘winable candidate’. Empat ini mesti. Ingat, kalau keempat-empat ini jadi positif macam bah besar di Pekan, Pahang. Tuan-tuan dan puan-puan tahu bila bah besar di Pekan, Pahang? Tahu? Tak tahu? Ia jadi besar bila air turun dari hulu bertembung dengan laut air pasang, ia jadi limpahan banjir besar. Kalau kita nak menang besar, keempat-empat ini mesti menjurus kepada yang positif, baru kita menang besar macam bah besar di Pekan. Saya tahulah, saya ahli Parlimen Pekan.

Air naik berapa kaki? (Pengerusi Tetap mencelah): Naik tinggi...(ketawa) banyak kaki... Datuk. Belah Yan (Kedah) dulu, air naik empat kaki saja. Pahang lagi besar.

Jadi, kita mesti lihat dan saya cuba fikir apa dia elemen-elemen model transformasi. Saya tak nak kata ini Presiden punya idea atau Timbalan Presiden sama dengan Presiden punya idea.

Jadi kita mesti lihat dan saya cuba fikir apa agaknya elemen-elemen model transformasi. Saya tak nak kata ini Presiden punya idea atau Timbalan Presiden sama dengan Presiden punya idea.

Saya nak cantumkan, adunkan dengan perwakilan kerana kawan saya wakil Melaka kata, percayalah kepada kami. Betul tak? Betul.

Saya nak percaya pada perwakilan dan ahli UMNO. Saya nak gariskan berdasarkan pada intipati ucapan saudara-saudari dalam perhimpunan ini.

Yang pertama, nilai elemen yang pertama ialah tentukan bahawa maruah parti, kepentingan parti lebih besar, lebih tinggi daripada maruah kepentingan diri.

Wakil Kelantan contohnya katanya Tok Pa (Mustapa Mohamed) Pengerusi Perhubungan Negeri Kelantan, tapi bila kita ambil keputusan lantik Tengku Razaleigh sebagai pengarah Pilihan Raya DUN Galas, Tok Pa jadi timbalan kepada Tengku Razaleigh, kerana apa? Kerana dia nak menang.

Maknanya bukan soal maruah diri. Bukan soal status diri, bukan soal kepentingan diri tapi diutamakan parti mesti menang.

Nilai elemen kedua, saya ambil wakil dari Sabah, sahabat saya juga. Dia kata bahawa dalam parti ini yang penting bukan kumpulan tapi pasukan. Banyak beza kumpulan dan ‘team’. Makna bila ada team adalah pemain, posisi kita tahulah, bola sepakkan. Semua orang tahu macam mana kita nak menang dalam bola sepak, cuma pasukan kita tak boleh nak menang. Itu saja.

Maknanya kita mesti ada penyerang, menyerang. Jangan sumbat gol sendiri. Ada orang dia ‘score’ gol sendiri. Pilihan raya (umum) ada, pilihan raya kecil ada. Ada setiausaha bahagian, pilihan raya tak jadi calon pukul 10 malam dah tidur. Ada yang tak ada di kawasan pun ada. Betul tak? Betul. Tak jadi calon tak nampak muka. Langsung tak nampak. Cari, hilang. Ada yang sponsor pergi Medan.

Itulah kata ada yang bentes kaki. Orang Kelantan kata ‘cah keting’. Kalau tidak kita menang di Manek Urai. Belum masuk bab Datuk Seri Shafie (Apdal) kata banyak yang tak daftar. Yang tak daftar inilah bentes kaki, cah keting. Yang hilangkan diri, yang merajuk semua ada. Sebab itulah kita belum ada lagi aspek ‘esprit de corps’ yang kuat. Dalam transformasi model ini kita mesti memperkukuhkan ‘esprit de corps’ dalam parti kita di semua peringkat.

Janganlah kalau kerja dalam kumpulan kalau tidak ikut rentak, geng atau ‘clique’ kita, kita nak cantas dia. Walhal dia boleh buat sumbangan pada parti, betul tak? Ini jadi perangai kita. Jadi transformasi model politik jangan pakai lagi perangai macam ini.

Yang ketiga, saya ambil daripada perwakilan juga. Memenangi pemikiran, hati dan jiwa rakyat. Sebab itu kita buat program Juara Rakyat. Kita nak bersifat inklusif. Juara rakyat jangan kita sama kita geng kita. Ada satu bahagian buat kejohanan boling sesama dia. Tak jadi juara rakyatlah. Jadi juara boling saja. Tapi claim pada UMNO. Jadi macam mana rakyat?

Kita mesti macam perwakilan kata jangan menunjuk-nunjuk. Dia kata jangan nak buat sekelip mata tukar rumah besar, kereta besar, cuma isteri tak nak besar. Ini perwakilan cakap. Bukan saya cakap. Jadi inilah yang mesti kita buat. Biar rakyat pandang dia suka tengok pemimpin UMNO. Kita dapat memenangi hati dan pemikiran rakyat.

Keempat, zaman ini zaman moden. Kita mesti jadi juara dalam media baru juga. Jangan puak-puak sana saja. Kita mesti ada facebook. Mesti ada Twitter. Macam-macam mesti buat. Sebab itu saya kata kerajaan Melaka tumbang pada Portugis kenapa? Kerana dia dengan dia punya tombak, keris dan kapak. Portugis dengan meriam, senapang. Kalahlah kita.

Zaman sekarang ini kita pakai facebook sebagai social network. Kita mesti jadi juara social network.

Saya pun cubalah walaupun tak mahir sangat. Alhamdulillah facebook saya sudah setengah juta. Tun Dr. Mahathir (Mohamad) yang veteran pun dah mahir blog, facebook. Dia buat transformasi juga.

Yang kelima, orang muda. Empat juta pengundi baru. Yang lama dah masuk dalam kotak, dalam bakul UMNO, bakul Pas atau bakul apa. Yang baru empat juta ini mesti jadi sasaran kepada UMNO menjurus kepada PRU-13. Itulah kita hendak. Bila Ketua Pemuda cadang buat think tank, saya setuju dan kita bantu.

Yang keenam, UMNO mesti menuju sifar masalah. Ada masalah lagi? Ada. Dalam perhimpunan ini pun ada. Ramai. Ada juga bahagian yang datang jumpa saya sebab masalah bahagian. Sebab apa? Sebab ada dua kumpulan. Bahagian yang boleh kita menang. Kerusi yang boleh kita menang. Tapi kita kalah. Sebab apa? Sebab UMNO tidak dapat menyelesaikan masalah dalaman di peringkat bahagian itu. Jadi, saya mintalah kita semua bantu cari penyelesaian. Yang kaki hantuk, kaki batu ‘ronson’, jawatankuasa mandi, tak usah buat kerja ini.

Dan yang ketujuh, UMNO mesti dahulukan rakyat, saya sebut tadi. Ini penting sangat, dahulukan rakyat. Tengoklah, kalau kita buat apa-apa bantuan, nak bagi saham Felcra di bahagian ini pun tengoklah, jangan bagi anak saudara kita.

Anak saudara kita yang dah jadi peguam nak saham Felcra, nak buat apa? Bagi kepada orang yang memerlukan bantuan, biar UMNO dilihat parti yang adil dan inklusif, dahulukan rakyat, rakyat sentrik. Insya-Allah, UMNO akan berjaya kalau kita letakkan rakyat yang kita dahulukan rakyat sepanjang masa.

Saudara-saudari sekalian,

Saya dah cuba gariskan bahawa transformasi politik amat perlu kita lakukan. Mulai tahun hadapan, saya ambil keputusan, sama-sama dengan Timbalan Presiden, kami akan turun ke negeri-negeri. Kami akan berjumpa dengan UMNO dan rakyat. Saya hendak UMNO sediakan yang sebaik-baiknya. Sediakan untuk lawatan kami berdua supaya mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan. Boleh ke tidak? Balik ini buat persiapan. Kita nak tengok persiapan yang diberi. Saya nak belek, saya nak tilik, saya nak tengok.

Saya nak beritahu bahawa dalam masa yang terdekat ini, saya akan buat perubahan kepada kepimpinan UMNO di peringkat tertentu. Mula dengan susunan yang akan datang ini, akan lengkaplah persediaan kita. Saya akan runding dengan Timbalan Presiden, runding dengan Jawa, Turki, lanun apa formula yang sebaik-baiknya. Saya nak kita bekerja kuat, sebab orang Melayu dan negara tak boleh harap pada orang lain melainkan UMNO sahaja. Jadi, kita turun padang dan sentiasa berada atas padang.

Jadi rajin, jangan malas,

Boleh menang kita di Galas.

Jangan jadi batu api,

Boleh menang di Batu Sapi.

Bersusah-susah mendaki bukit,

Tanah yang kontang digali lembah,

Walau berkecai bumi di langit,

Hak Melayu takkan dirubah.

Nyiur gading puncak mahligai,

Ketupat pulut berisi inti,

Biar bergoncang dihentam badai,

Bahtera UMNO tak kan berhenti.

Demi Islam, demi Melayu, demi Malaysia.

Wabillahi Taufik Wal Hidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.-UM.

Juragan Malawati..

Sabtu, 23 Oktober 2010

Jangan persoal hak Melayu!














Hak keistimewaan orang-orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak sebagaimana yang terkandung dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tidak sepatutnya dipersoalkan oleh sesiapapun.

Tetapi anehnya, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, hak keistimewaan orang Melayu sering disentuh dan dibangkitkan oleh pihak tertentu sama ada golongan bukan Melayu mahupun orang Melayu sendiri.

Kenapa ini harus terjadi? Pada hal, ia telah 'terpahat kukuh dalam Perlembagaan Persekutuan yang sangat sukar diganggu-gugat sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO 2010 kelmarin.

"Hak orang Melayu dilindungi sepenuhnya serta 'terkunci kemas' dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa dapat digugat dan kenyataan ini wajar diterima oleh semua kaum di negara ini."

Najib menambah, "seandainya mempunyai dua pertiga dalam Parlimen pun, ia tidak akan mampu mengubah setitik apa pun jua, tanpa kebenaran Majlis Raja-Raja yang dianggotai oleh sembilan Raja-Raja Melayu."

Hakikat ini perlu difahami oleh semua warganegara. Asas pemahaman Perlembagaan Negara mahu tidak mahu mesti difahami oleh setiap warganegara agar kita dapat bertindak dengan lebih tepat dan tidak terpesong dari jalan sebenar. Dalam masa yang sama, ia tidak digunakan oleh pihak-pihak tertentu bagi kepentingan mereka.

Dalam memahami hak-hak keistimewaan orang Melayu sebagaimana yang terkandung dalam Perkara 153 (yang mempunyai hubungan rapat dengan 'kontrak sosial', ia perlu dikaitkan dengan sejarah perjuangan bangsa serta struktur negara. Bagi melihat dan memahami perkara ini, perkara 153 tidak boleh dilihat secara bersendirian. Hanya semata-mata membincangkan perkara 153, ia akan memungkinkan kita menjadi keliru. Di antara perkara yang berkait rapat dalam memahami perkara 153 adalah:

1. Perkara 38 (5)

2. Perkara 10 (4)

3. Perkara 8 (2)

4. dan perkara-perkara lain yang berkaitan.

Perkara 38 (5) adalah sangat penting difahami dalam membincangkan Perkara 153. Dalam Perkara 38 (5) menyatakan "Majlis-Majlis Raja-raja hendaklah dirundingi sebelum dibuat apa-apa perubahan tentang dasar yang menyentuh tindakan pentadbiran di bawah Perkara 153."

Inilah di antara istimewanya Perkara 153 kerana ia tidak boleh dipinda hanya dengan suara majoriti dua pertiga Parlimen. Walaupun dua pertiga ahli Parlimen bersetuju meminda hak keistimewaan orang Melayu, ia tidak akan dapat dipinda sekiranya tidak ada persetujuan daripada sembilan orang sultan/raja Melayu.

Kadang-kadang timbul salah faham bahawa jika parti politik tertentu dapat menguasai dua pertiga dalam Parlimen, maka perkara yang berkaitan dengan hak keistimewaan ini akan dipinda dan diberikan hak yang sama rata kepada semua rakyat.

Pernah juga dikatakan oleh pihak-pihak tertentu bahawa hak istimewa ini adalah perkara lapuk lebih setengah abad lalu yang kini tidak lagi sesuai.

Memang Perlembagaan Persekutuan menyatakan satu peruntukan tertentu mengenai hak kesamarataan yang terkandung dalam Perkara 8. Tetapi dalam Perkara 8 (2) juga ada dinyatakan dengan jelas 'kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan Persekutuan ini…'

Ini bermaksud ada kekecualian 'kesamarataan' itu apabila ada dinyatakan dengan jelas dalam Perlembagaan sebagaimana yang dinyatakan dalam Perkara 153 itu.

Perkara 153 ini mendapat kedudukan istimewa kerana ia tidak boleh dipersoalkan sebagaimana yang dinyatakan dalam Perkara 10 (4). "Pada mengenakan sekatan-sekatan demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam di bawah Fasal (2) (a), Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang dipersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogative yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III, Perkara 152, 153, atau 181 melainkan yang berhubung dengan pelaksanaannya sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang itu.

Memang tak dapat dinafikan bahawa Perkara 153 adalah perkara yang istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan yang tidak boleh diubah. Kedudukannya amat konkrit dan tidak sepatutnya dipersoalkan oleh kaum lain.

Penulis melihat ada maksud tersirat dan falsafah yang tinggi nilainya di sebalik hak keistimewaan orang Melayu sebagaimana yang dinyatakan dalam Perkara 153 ini, iaitu pembentukan satu rupa bangsa yang kuat dan stabil yang didokong oleh kumpulan majoriti yang besar sifat dan bilangannya.

Maksud tersirat adalah akan terbentuknya satu kumpulan bangsa Melayu (bukan bangsa Malaysia) yang dominan dalam jangka panjang. Bagi mengukuhkan hujah ini bahawa orang-orang Melayu itu (mengikut pentafsiran Perlembagaan Persekutuan) adalah bukan dilihat daripada segi biologi, tetapi lebih kepada sosio budaya dan undang-undang.

Bagi menyokong hujah ini, kita mesti merujuk Perkara 160 mengenai definisi 'orang-orang Melayu'. Melayu mengikut Perkara 160 adalah 'orang Melayu' ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu dan - (a) yang lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau yang lahir sebelum Hari Merdeka dan ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau yang pada Hari Merdeka berdomisil di Persekutuan atau di Singapura: atau (b) ialah zuriat seseorang yang sedemikian.

Tidak mudah memahami Perkara 153 dan hal-hal yang berkaitan tanpa menghubungkaitkan dengan perkara-perkara lain. Rumusan yang dapat dibuat bahawa Perkara 153 dan hal-hal berkaitan dengan hak istimewa orang Melayu adalah mempunyai niat baik dan tujuan positif bagi pembinaan negara bangsa khususnya dalam jangka panjang.

Tidak sepatutnya ada sesiapa yang menolak dan mempertikaikan perkara ini jika benar-benar faham dengan mendalam. Adalah wajar kenyataan Perdana Menteri dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO 2010 bahawa hak keistimewaan Melayu ini wajar diterima oleh semua kaum di Malaysia.

Sebagai parti politik besar seperti UMNO, persoalan seperti ini perlu jelas agar orang-orang Melayu faham dan sedar tonggak sebenar perjuangan bangsa Melayu dan UMNO, agar bangsa Melayu terus bersatu dan kuat bagi kestabilan negara dan pembangunan Malaysia.

Prof. Madya Dr. Mohd. Noor Yazid

Juragan Malawati..