UMNO BAHAGIAN KUALA SELANGOR

Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.


Khamis, 3 September 2009

Nilai Kemerdekaan Bagi Orang Melayu!

Sejak dari selesai PRU ke-12 yang lepas dan sepertimana yang kita ketahui akan keputusannya dimana lima negeri telah jatuh ketangan pembangkang, kian dilihat setiap hari bagaimana kaum bukan Melayu semakin berani mempertikaikan akan Ketuanan Melayu.

Tidak kira kaum bukan Melayu dari parti pembangkang, begitu juga dengan rakan-rakan UMNO didalam Barisan Nasional. Ibarat menikam kawan dari belakang, inilah yang berlaku didalam senario politik negara.Penulis tertanya-tanya apabila UMNO diasak bertubi-tubi oleh pihak pembangkang, dimanakah rakan-rakan utama UMNO dalam BN?

Sepatutnya rakan-rakan utama BN inilah yang akan berdiri teguh dibelakang UMNO untuk menangkis segala serangan dari pihak pembangkang. Ini tidak, bukan sokongan seperti yang diharap-harapkan malah UMNO sendiri menerima tekanan dari dalam BN. Seolah-olah UMNO dibelasah dari luar dan dalam. Malah ada rakan-rakan utama UMNO mula bertindak dengan berani mengugut untuk meninggalkan Barisan Nasional jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Dimanakah semangat setiakawan dan persefahaman yang telah sekian lama dipupuk selama ini sejak dari merdeka lagi diantara semua parti-parti komponen Barisan Nasional. Apa lagi yang kaum bukan Melayu mahukan dari orang Melayu? Tidak cukupkah apa yang mereka telah perolehi dan kecapi setelah keturunan datuk moyang mereka diterima sebagai warganegara tanah air tercinta ini. Tidak cukupkah lagi dengan penguasaan ekonomi yang mereka dominasi sehingga mampu mengurangkan tahap kemiskinan kaum-kaum mereka jika hendak dibandingkan dengan orang Melayu?

Ingatlah kaum bukan Melayu,orang Melayu juga berhak menikmati hidup yang sempurna di tanah air mereka sendiri. Orang Melayu tidak mahu hidup merempat ditanah air mereka. Orang Melayu tidak meminta apa-apa dari bukan Melayu. BN yang ditunjangi oleh UMNO telah berusaha merangka berbagai polisi untuk menaikan taraf hidup orang Melayu sejak merdeka disamping tidak mengabaikan hak-hak kaum lain.

Adakah orang Melayu meminta kaum bukan Melayu supaya mengabaikan atau memansuhkan bahasa, adat resam dan sekolah-sekolah bukan Melayu? Malah kebanyakan sekolah-sekolah mereka telah turut dibantu oleh kerajaan.Ingatlah kaum bukan Melayu, tidak ada didalam dunia ini manusia yang begitu baik bernama “ Melayu “ yang sanggup menerima kaum-kaum pendatang ini sebagai warganegara setelah negara mencapai kemerdekaan.

Tanah Melayu tidak meletakkan apa-apa syarat kepada kaum bukan Melayu untuk menerima mereka sebagai warganegara Tanah Melayu. Malah mereka bebas mengamalkan adat resam mereka selepas merdeka.Jangan cepat lupa sejarah pembentukan Malaysia. Untuk apa kita merayai hari ulang tahun kemerdekaan pada saban tahun jika semua rakyat Malaysia tidak mahu menghayatilah sejarah pembentukan Tanah Melayu.

Inilah gunanya hari kemerdekaan disambut supaya rakyat dapat menghayati apa ertinya kemerdekaan dan bagaimana untuk terus mempertahankannya. Bagaimana pejuang-pejuang kemerdekaan dahulu yang rata-ratanya orang Melayu berjuang menuntut kemerdekaan dari pihak penjajah.

Pejuang-pejuang Melayu terdahulu sanggup bermandikan darah mempertahan bumi tercinta ini dari terus dijajah untuk menjadikan Malaysia sepertimana yang ada pada masa ini. Adakah kaum bukan Melayu pernah berterima kasih pada orang Melayu diatas pengorbanan pejuang-pejuang Melayu terdahulu dalam mempertahankan kedaulatan negara?

Adakah kaum bukan Melayu tahu akan kehadiran Pahlawan Mat Kilau, Datuk Bahaman, Datuk Maharajalela dan lain-lain pejuang Melayu. Adakah kita pernah mendengar Kapitan Yap Ah Loy atau ceti-ceti sanggup mengangkat senjata berjuang bersama-sama dengan orang Melayu melawan penjajah? Tidak pernah.

Mengapa pejuang-pejuang Melayu sanggup bermandikan darah berjuang melawan penjajah? Kerana apa, kerana niat mereka cuma satu. Tanah air ini adalah tanah Melayu. Bermakna Melayu adalah tuan kepada tanah air bumi tercinta ini. Siapakah akan mempertahankannya kalau bukan orang Melayu itu sendiri. Sama juga dengan Singapura. Siapakah tuan tanah kepada negara Singapura sekarang walaupun ia sebenarnya pernah menjadi sebahagian dari tanah Melayu.

Bolehkah orang Melayu Singapura mengatakan mereka adalah tuan kepada tanah Singapura. Tentu tidak boleh kerana sudah bertukar “ tuan “.Maka tidak perlulah bukan Melayu terus mempersoalkan akan Ketuanan Melayu kerana semuanya sudah termaktub didalam perlembagaan. Boleh dikira dengan jari berapa ramai perajurit yang berpangkat rendah dari kalangan bukan Melayu kecuali bumiputra dari Sabah dan Sarawak yang berkhidmat didalam pasukan angkatan tentera Malaysia.

Kalau mereka benar-benar sayangkan negara mengapa mereka tidak mahu menyertai angkatan tentera Malaysia bermula dari pangkat paling bawah. Kalau adapun yang mahu menyertai ,mengapa mereka cuma memilih untuk pangkat-pangkat atasan sahaja. Apakah jijik sangat pangkat bawahan itu?

Mengapa orang Melayu sahaja yang sanggup menggalas tangungjawab ini meninggalkan anak dan isteri serta keluarga berada didalam hutan atau disempadan untuk menjaga keselamatan negara sedangkan kaum bukan Melayu yang mendabik dada mengatakan yang mereka juga adalah “ tuan” kepada tanah air ini duduk bersenang lenang dengan rumah besar, kereta mewah dan segala kemewahan yang lain.

Sanggupkah mereka yang bongkak dan lupa daratan ini berada bersama-sama perajurit Melayu didalam hutan demi menjaga keselamatan negara? Dimanakah bukan Melayu bila setiap tahun Tabung Rayuan hari Pahlawan dilancarkan? Berapa ramai yang sanggup menderma bagi membantu ahli-ahli keluarga perajurit yang daif ataupun yang terkorban semasa menjalankan tugas?

Begitu juga dengan tugas-tugas menjaga keamanan dan ketenteraman awam. Berapa ramaikah bukan Melayu yang mahu menjadi konstabel Polis? Mengapa jika ada cuma memilih pangkat atasan sahaja. Adakah pangkat bawahan ini untuk orang Melayu sahaja? Bukankah soal keamanan adalah tanggungjawab bersama. Malah ada ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan kredibiliti anggota polis dalam menjaga keamanan negara.

Sepatutnya sebagai rakyat dan pembangkang, beliau menyeru kepada bukan Melayu untuk menganggotai pasukan polis bagi sama-sama menjaga keamanan. Ini tidak, malah mempersalahkan pasukan polis dengan kadar jenayah yang tinggi sekarang.Bagi penulis tanggungjawab pasukan Polis adalah seperti berat mata memandang, tetapi lebih berat bahu yang memikul . Cuma yang faham sahaja yang akan menghormati kerja-kerja yang ditanggung oleh pasukan Polis.

Adakah tugas-tugas menjaga keselamatan dan keamanan terletak dibahu orang Melayu sahaja sedangkan kaum bukan Melayu sibuk menghimpun harta kekayaan. Adakah bukan Melayu pernah bersyukur dengan kenikmatan dan hidup senang lenang mereka sekarang adalah hasil dari susah payah orang Melayu yang menjadi pewaris kepada bumi tercinta ini.

Jika bukan Melayu masih lagi mempersoalkan tentang Ketuanan Melayu, adalah lebih baik mereka cermin dulu diri masing-masing tentang asal-usul mereka. Hayati apa itu kontrak sosial, apa itu rukun negara dan apa yang termaktub dan terkandung didalam perlembagaan. Ingatlah yang orang Melayu sudah banyak berkorban untuk bukan Melayu. Orang Melayu tidak meminta banyak kepada bukan Melayu, cuma diharap bukan Melayu menghormati hak-hak istimewa orang Melayu dan Raja-raja Melayu seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan.

Seperti titah Raja Muda Perak, Raja Dr,Nazrin tidak lama dahulu:Masyarakat imigran yang datang daripada pelbagai budaya dan adat perlu berpegang kepada pepatah ‘ Dimana bumi berpijak, di situ langit dijunjung ‘.

Sama-samalah kita renungkan.
Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Yang Ke-52...Salam Merdeka.

Politik Masa Kini
Juragan Malawati



Jumaat, 28 Ogos 2009

Kemerdekaan menuntut keinsafan anak bangsa !

Mulai 1 Ogos lalu, negara memasuki bulan kemerdekaan yang disambut pada 31 Ogos setiap tahun. Ini adalah kali ke-52 negara menyambut ulang tahun kemerdekaan untuk memperingati tarikh keramat negara bebas daripada belenggu penjajah.

Walaupun bulan kemerdekaan sudah memasuki minggu terakhir, suasana kemerdekaan tidak pun dirasai, berbeza dengan suasana Ramadan, apatah lagi Aidilfitri. Ini mungkin kerana sudah terlalu banyak pesta di negara ini.

Sungguh malang kerana hari pertama bulan kemerdekaan pada 1 Ogos lalu diwarnai dengan kekecohan perhimpunan haram Gerakan Mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) di bandar raya Kuala Lumpur. Ia menjadi bahan perbualan hingga ke hari ini.

Sehari demi sehari berlalu tanpa sedikit pun rakyat merasai kemeriahan suasana bulan kemerdekaan. Pada malam 31 Ogos nanti, walaupun sambutan meriah akan diadakan di tempat terpilih, belum pasti roh kemerdekaan dapat menyerap ke dalam jiwa bangsa Malaysia.

Ramai yang datang untuk menyambut detik-detik kemerdekaan pada malam berkenaan, adalah semata-mata untuk menyaksikan persembahan pentas, menyanyi dan menari. Pada malam itu nanti ramai anak-anak remaja mendapat pasport daripada ibu bapa untuk keluar rumah dan balik hingga lewat malam dengan alasan untuk menyambut hari kemerdekaan. Meskipun turut melaungkan seruan “Merdeka, Merdeka, Merdeka” apabila jam tepat menunjukkan pukul 12 malam pada 31 Ogos nanti, ia hanyalah laungan bergemuruh yang tidak ada bezanya dengan laungan pada sambutan tahun baru setiap tahun di hotel-hotel dan pusat-pusat hiburan.

Bagi kumpulan bersemangat kebangsaan yang tebal, keadaan ini sangat membimbangkan mereka kerana menganggap terhakisnya semangat nasionalisme bangsa. Kumpulan ini menganggap masyarakat hari ini gagal mengagumi, apatah lagi menghayati sejarah. Sekiranya mereka dipilih sebagai pemimpin akan datang, ia akan mempercepatkan proses negara tergadai dan berlaku penjajahan baru oleh kuasa-kuasa besar.

Sikap kumpulan nasionalis ini berbeza dengan golongan berfikiran liberal. Mereka tidak bimbang kepada sikap generasi hari ini kerana menganggap ia adalah perkara biasa dalam tamadun manusia. Bagi golongan ini, apa yang mereka tahu ialah kebebasan bermakna rakyat sewajar diberi hak mutlak dalam segala bidang. Kumpulan ini memandang ke depan dan mahu rakyat menguasai ilmu tanpa perlu menoleh ke belakang. Bagi mereka, jika masyarakat tidak menguasai ilmu, mereka akan ketinggalan.

Pengertian kemerdekaan mempunyai semangat dan rohnya tersendiri. Penghayatannya juga berbeza daripada seseorang kepada seseorang yang lain. Bagi seseorang yang berusia 70-an ke atas hari ini, mereka adalah kumpulan yang pernah hidup pada zaman Perang Dunia Kedua yang merasai pahit getirnya kehidupan pada zaman penjajahan British. Sebelum itu, mereka juga melalui pengalaman ketika pemerintahan Jepun, makan ubi kayu bakar dan bersembunyi di bawah tanah apabila diburu pengganas Komunis. Pengalaman mereka bersekolah, jauh beza daripada anak-anak zaman moden hari ini. Berkaki ayam hingga kaki keras berkematu, adalah perkara biasa.

Bagi golongan ini, sewaktu Perdana Menteri pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman melaungkan “Merdeka, Merdeka, Merdeka”, ia adalah seruan paling beremosi dan ramai yang mengalirkan air mata kerana mereka faham erti kebebasan. Bagi mereka yang berusia 40 dan 50-an hari ini, kisah kehidupan zaman perang, pemerintahan Jepun dan penyeksaan hidup pada zaman Komunis, sudah mula menjadi cerita penglipur lara bila ayah atau datuk nenek menceritakan kisah lampau mereka sebelum ini.

Kumpulan ini tidak dapat menggambarkan keadaan kehidupan zaman sebelum mereka, apatah lagi menyelami pengalaman yang dilalui datuk nenek mereka. Ketika ayah bercerita kisahnya menelaah buku di bawah lampu minyak tanah atau membeli nasi lemak dengan harga lima sen sebungkus, mereka hanya mendengarnya tanpa emosi dan simpati. Sukar bagi mereka mendalami keadaan itu yang menyebabkan perbualan ibarat percakapan antara itik dengan ayam.

Ketika tiba 31 Ogos setiap tahun, anak-anak muda hari ini juga tidak ketinggalan melaungkan ungkapan “Merdeka, Merdeka, Merdeka”, tetapi tidak siapa yang dapat membaca emosi mereka. Apakah mereka benar-benar faham erti kebebasan atau sekadar terikut-ikut dengan laungan untuk menggemakan suasana.Anak-anak hari ini mempunyai cita-cita yang jauh berbeza daripada cita-cita dan pemikiran masyarakat pra dan pasca kemerdekaan.

Keadaan ini berlaku kerana mereka terdedah kepada pelbagai pengaruh luar melalui pelbagai saluran dan media. Dengan kemajuan teknologi komunikasi dan telekomunikasi, anak-anak yang berusia belasan tahun, seterusnya mereka dalam lingkungan 30-an dan 40-an, mewarisi pemikiran moden. Mereka mungkin faham bahawa sambutan Hari Kemerdekaan adalah detik memperingati kejayaan negara yang berjaya membebaskan diri daripada belenggu penjajahan.

Disebabkan tidak pernah mengenal erti penjajahan, sama ada secara fizikal dan pemikiran, mereka tidak pernah menganggap mereka pernah dijajah. Pengalaman tidak pernah mengajar mereka penyeksaan hidup dijajah. Anak-anak hari ini tidak pernah merasa tidur dalam kerlipan pelita minyak tanah kerana setiap masa mereka membesar di dalam bilik berhawa dingin. Bagaimana mereka boleh memahami erti mandi di perigi, sedangkan mereka tidak pernah melihat perigi. Mereka hidup dalam zaman moden yang lama kelamaan menghakis semangat nasionalisme bangsa.

Realitinya, golongan muda hari ini mula tidak memahami erti sejarah kerana mereka belajar sejarah semata-mata untuk tujuan peperiksaan. Bagi semua bangsa Malaysia, mereka hanya akan memahami erti kemerdekaan sekiranya mereka menghayati erti keperitan hidup. Tidak salah meniupkan pemikiran serta jiwa merdeka kepada anak-anak bangsa kerana merekalah yang akan menyelamatkan negara daripada sebarang ancaman pada masa akan datang. Kemerdekaan negara akan hancur sekiranya rakyat berpecah belah.

Dalam suasana kemerdekaan yang sedang disambut hari ini, orang Melayu yang berpecah belah, masih belum dapat ditautkan semula. Ini adalah suasana yang amat malang bagi bangsa Melayu kerana kedudukan mereka sebagai tulang belakang bangsa Malaysia. Bolehkan kita mengatakan bahawa orang Melayu sebagai masyarakat berwawasan sedangkan mereka sendiri terus berpecah belah.

Orang Melayu mempunyai sikap prejudis sesama sendiri. Daripada kata-kata, mereka dilihat tidak jujur sesama sendiri hanya disebabkan fahaman politik yang berbeza walaupun seagama. Di depan cakap lain, di belakang cakap lain. Hari ini puji, esok dikeji. Bila mereka bercakap di khalayak ramai orang mula melemparkan kata-kata mereka bercakap lain di mulut, lain pula di hati. Jika orang yang dihormati bercakap berbelit-belit, bagaimana ia boleh menjadi teladan kepada bangsa dan seagama. Inilah dilema orang Melayu hari ini.

Usaha mengisi kemerdekaan, tidak ada hadnya. Ia perlu diteruskan hingga kepada generasi akan datang walaupun ketika itu sejarah negara zaman silam sudah ditinggalkan jauh. Jika sejarah hari ini yang dijadikan sandaran, bermakna bangsa Malaysia hanya melihat kepada pergolakan bangsa Malaysia yang berlaku di depan mata kita hari ini.

Itulah sebabnya dalam apa keadaan sekali pun, apabila tiba bulan kemerdekaan nama-nama pemimpin negara bermula daripada Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Allahyarham Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi akan disebut kerana setiap mereka mempunyai peranan membina bangsa dan negara. Begitu juga dengan pemimpin hari ini dan mereka yang akan mewarisi pimpinan negara pada masa akan datang, tetap disanjung.

Setakat ini, semua pemimpin yang menerajui negara mempunyai jasa kepada negara berasaskan kepada waktu dan ketika pentadbiran mereka. Semua mereka menyambung tugas menyedarkan rakyat supaya memahami erti kemerdekaan. Bagaimana keadaan negara pada 50 tahun akan datang. Dari segi fizikalnya, kita yakin Malaysia akan lengkap serba serbi. Isunya ialah bagaimana pemikiran rakyat Malaysia pada 2057 nanti, apabila negara menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-100 tahun nanti.

Setakat ini, sejarah menyaksikan betapa kepemimpinan Umno masih berjaya menerajui perjuangan mencapai kemerdekaan dan mengurus cabaran kemerdekaan. Untuk 50 tahun akan datang, pastinya ia bermula hari ini.

Politik Masa Kini
Juragan Malawati

Rabu, 26 Ogos 2009

UMNO Kuala Selangor Mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak..

RAMADHAN yang ditunggu-tunggu seluruh umat Islam sudah menjelma . Ada yang rindukan sahurnya, buka puasa, malah ada yang teringat akan malamnya yang kudus.

Tarawih dan solat malam sudah tentu akan diisi maksimum mungkin dan diselangi tadarrus. Ramai juga yang mengambil peluang mengerjakan umrah dan bersedekah, kerana semuanya ingin menghambakan diri, menjadi hamba-Nya yang tulus.

Permulaannya rahmat, pertengahannya pengampunan dan penghujungnya terlepas dari api neraka. Inilah yang ingin dikejar sesiapa saja yang inginkan penghabisan usia yang baik. Yang bersalah memohon maaf, yang sombong menghulur senyum, yang jahat mula bertaubat, yang malas menyinsing lengan, yang takbur kembali sujud memohon keampunan, memohon pelepasan dari dosa yang terhimpun sekian lama.

Indahnya Ramadhan, paginya hening untuk yang insaf, siangnya pendek untuk yang sabar dan malamnya panjang untuk yang bertaubat. Selain menahan diri dari lapar dan dahaga, berpuasa juga menjaga diri dari melakukan perbuatan maksiat. Yang halal dilakukan pada bulan yang lainnya menjadi haram pada bulan puasa, seperti makan pada siang hari dan melakukan persetubuhan antara suami isteri.

Kerana itulah orang berpuasa dengan sebenar-benarnya adalah orang yang luar biasa.Di dalam surah Al-Baqarah ayat 183, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, semoga kamu bertakwa."Orang berpuasa ialah orang yang bertakwa. Mereka menjaga hati dari berasa sangsi terhadap kekuasaan Allah dan kebaikan saudara seagama.

Mereka juga menjaga mata dari memandang sesuatu yang tidak selayaknya, menjaga hidung dari menghidu sesuatu yang mengurangkan pahala, menjaga telinga dari halwa yang membuai rasa dan suara yang membawa berita bohong, menjaga lidah dari membicarakan hal yang tidak berfaedah, mengumpat, mencaci, menipu dan memfitnah serta menjaga tubuh badan lainnya yang menjadikan kita leka dari mengingati Yang Maha Berkuasa.

Orang meninggalkan puasa tanpa izin syarie tidak akan dapat menggantikan hari berkenaan pada mana-mana hari pun di dunia, Rasulullah SAW menegaskan hal ini dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Imam at-Tarmizi yang maksudnya: "Dari Abi Hurairah berkata: Bersabda Rasulullah SAW: Sesiapa berbuka satu hari pada Ramadan tanpa ada ruksah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat menggantikan puasa ditinggalkan itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup".

Pada bulan mulia, ibu bapa wajar mengambil peluang meluangkan masa yang berganda bersama anak dan mendidik mereka mematuhi hukum agama. Selain puasa, rukun Islam lainnya wajar ditazkirahkan semula dan diamalkan bersama mereka supaya hati mereka dekat dengan Yang Maha Pencipta.Anak bukan saja perlu difahamkan dengan apa yang terakam di dalam kitab suci, tetapi juga amalan yang ditunjukkan ibu bapa, yang menjadi pendakwah paling hampir dengan mereka.

Tunjuk ajar yang betul pada peringkat awal usia anak untuk menghadapi Ramadhan tentunya menjadi batu asas yang kuat untuk mereka beristiqamah dengan fahaman puasa yang sebenarnya, iaitu bukan hanya berlapar dan dahaga, apatah lagi membazir sewaktu berbuka tetapi menjadi hamba yang insaf terhadap hari muka.

Sudah tentu setiap isteri pula menantikan tunjuk ajar suami dalam meningkatkan ibadah kepada Allah SWT. Walaupun menyediakan juadah bersahur dan berbuka besar dan banyak pahalanya, ia tidak cukup puas jika tidak berjemaah sewaktu qiyamullail, apatah lagi apabila tibanya lailatul qadar yang hanya bertandang sekali. Justeru, setiap suami harus mengambil kesempatan dari saat ini untuk menyiapkan diri membimbing anak dan isteri menghadapi Ramadhan kali ini agar lebih baik dari sebelumnya.

Oleh itu SAYA TERLEBIH DAHULU MEMOHON MAAF jika saya ada berbuat kesalahan, baik yang tidak di sengaja maupun yang di sengaja , semoga kita dapat menjalani ibadah puasa dengan khusyuk, diberkati dan dirahmati Allah S.W.T, Insyaallah. 'Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak'.

Ikhlas Dari :
Juragan Malawati

Isnin, 24 Ogos 2009

Selangor nadi negara - Najib

KUALA SELANGOR 9 0gos - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata, beliau mahu Selangor dikembalikan semula ke tangan Barisan Nasional (BN) kerana negeri ini penting sebagai nadi negara.

"Peluang untuk BN berkuasa semula di Selangor tetap ada tetapi dengan syarat parti-parti komponen yang diterajui UMNO sudah insaf dan menyedari kekurangan diri dan sanggup berubah," kata beliau yang juga Presiden UMNO semasa berucap merasmikan mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Selangor di sini hari ini.

Selain daripada itu, beliau berkata, UMNO tidak boleh mempunyai perasaan benci kepada orang lain dalam keluarga BN dan perlu berjuang bersama-sama dalam satu keluarga besar berganding bahu berjuang secara seia sekata dan sehaluan.

“Ini harapan saya ... pesanan saya kalau hendak menang buat cara nak menang, jangan kita kata nak menang tapi perbuatan kita menempah kekalahan,” katanya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.

Najib berkata, perancangan itu yang dipanggil sebagai “Formula Pekan” telah membawa beliau ke persada yang lebih tinggi di dalam politik negara sehingga menjadi Perdana Menteri dan presiden parti.

Politik masa kini
Juragan Malawati

Suasana semasa persidangan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kuala Selangor yang dirasmikan oleh YAB Dato' Seri Mohd. Najib Tun Haji Abdul Razak bertempat di Dewan Dr. Haji Abu Hassan Omar, Kompleks UMNO Bahagian Kuala Selangor.


YB Datuk Haji Amiruddin Setro, wakil rakyat DUN Jeram bergambar bersama-sama wartawan-wartawan dari akhbar SINAR selepas persidangan.

Disediakan oleh Juragan Malawati