KUALA SELANGOR - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini mengingatkan umat Islam supaya sentiasa peka dan tidak memandang ringan kegiatan ajaran sesat yang boleh memecahbelahkan serta mencetuskan persengketaan.
Baginda bertitah, umat Islam perlu sentiasa berwaspada terhadap mereka yang cuba mempengaruhi mereka untuk mengembangkan ajaran dan fahaman sesat.
Menurut baginda, sekiranya masyarakat tidak peka dan tidak memberi kerjasama membendung kegiatan itu, dikhuatiri ia akan bergerak secara kecil-kecilan sebelum berkembang sehingga sukar dibendung.
“Perkembangan ajaran sesat boleh mengelirukan serta memesongkan akidah umat Islam di negeri ini. Akibatnya, umat Islam akan berpecah belah, hidup dalam suasana persengketaan dan tidak dihormati oleh masyarakat lain.
“Sehubungan itu, laporan atau aduan perlu dikemukakan kepada pegawai dan ahli jawatankuasa masjid untuk dipanjangkan kepada pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Masjid Ar-Ridhuan bersempena ulang tahun keputeraan baginda ke-69 di Simpang Empat, Jeram di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi; Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abdul Wahid dan Pengarah JAIS, Ahmad Zaharin Mohd. Saad.
Sultan Sharafuddin turut menegaskan supaya JAIS memastikan penceramah dan tenaga pengajar berkenaan agama Islam mempunyai tauliah yang diiktiraf selain mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan.
“JAIS perlu mengawasi semua aktiviti yang dijalankan di masjid dan surau supaya penyebaran ajaran sesat dapat dipantau dan diambil tindakan serta-merta sebelum perkara tersebut semakin berleluasa,” titah baginda.
Sementara itu, Ahmad Zaharin berkata, pembinaan masjid dengan kos RM6.4 juta itu dibuat bagi menggantikan masjid lama yang berdepan masalah kesesakan dan menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan jemaah terutamanya waktu solat Jumaat dan hari raya.
“Masjid ini lengkap dengan prasarana dan kemudahan seperti ruang solat yang luas, bilik mesyuarat, bilik pengurusan jenazah, bilik wuduk muslimin dan muslimat, alat pendingin hawa dan padang futsal.
“Masjid ini mampu menampung jemaah sehingga 2,000 orang dalam satu masa dan turut menyediakan 100 ruang tempat letak kenderaan,” jelasnya.
Juragan Malawati..